Keluar Bersatu masuk PBM, bukti Zuraida bukan kejar kebendaan

Iklan
Che Isham Sharudin, Zuraida

SHAH ALAM - Penghijrahan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin membuktikan semangat perjuangan membela anak bangsa bukan diukur dengan nilai kebendaan semata-mata kerana Parti Bangsa Malaysia (PBM) bukan parti kayangan yang penuh dengan kemewahan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM), Isham Sharudin bagaimanapun berkata, perjuangan parti adalah wadah bersama untuk ‘reset’ (memulakan semula) pembaharuan untuk negara ini.

Iklan
Iklan

"Umum mengetahui, gerak kerja yang dilakukan oleh Zuraida sepanjang menerajui dua kementerian telah memberi impak yang besar kepada rakyat dan diharap formula yang sama akan beliau gunakan untuk memperkasakan lagi PBM.

"Selain itu juga pada hemah kami Pergerakan Pemuda PBM, beliau adalah figura yang tepat untuk menzahir dan merealisasikan enam prinsip teras perjuangan PBM,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengulas lanjut, Isham berkata, Sayap Pergerakan Pemuda PBM berbesar hati dan menyambut baik hasrat yang dizahirkan oleh Zuraida.

Iklan

"Pergerakan Pemuda PBM juga ingin merakam setinggi penghargaan buat Zuraida di atas khidmat bakti yang cemerlang beliau semasa mengemudi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

"Semoga ALLAH membalas jasa baik Datuk Zuraida dengan ganjaran setimpal di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Muda Nasional PBM, Munira Abu Bakar berkata, Wanita Muda Bangsa Malaysia meletakkan seluruh kepercayaan terhadap segala keputusan kepimpinan dan yakin kemasukan Zuraida itu secara tidak langsung membantu kelancaran serta kemajuan parti ke tahap lebih baik.

"Kami seluruh kepimpinan Wanita Muda Bangsa Malaysia amat teruja dengan perkara ini memandangkan beliau merupakan salah seorang ahli Parlimen wanita yang disegani serta cemerlang.

"Wanita Muda Bangsa Malaysia bersedia untuk bergerak seiring dan menuntut ilmu kepimpinan daripada Zuraida,” jelasnya.