LOS ANGELES - Aktor Hollywood, Ray Liotta meninggal dunia dalam tidur ketika menjalani penggambaran filem di Republik Dominican, pada Khamis.
Berita pemergian pelakon berusia 67 tahun itu disahkan wakil agensi publisiti, Jennifer Allen.
Memetik laporan CNN, mendiang berada di Republik Dominican bagi menjalani penggambaran filem Dangerous Waters bersama pelakon Eric Dane, Odeya Rush dan Saffron Burrows.
Anak angkat kepada pasangan Alfred dan Mary Liotta itu dilahirkan di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat.
Punca kematian Liotta setakat ini belum dipastikan.
Sementara itu, penerbit filem Dangerous Waters, Lars Berg menyifatkan pemergian Liotta sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan.
"Takziah kepada ahli keluarga, tunang dan anak perempuannya," katanya.
Liotta terkenal dengan watak Henry Hill dalam filem klasik Goodfellas, antara filem terhebat abad ke-20 gandingan bersama aktor Robert De Niro dan Joe Pesci.
Filem Goodfellas memenangi satu Anugerah Oscar dan dicalonkan untuk lima kategori lain.
Dalam pada itu, Lorraine Bracco yang membawa watak sebagai isteri dalam filem Goodfellas turut memberi penghormatan kepada Liotta pada Khamis.
"Hati saya hancur mendengar berita kematian Ray.
"Di mana-mana saya berada di dunia, ada sahaja orang akan datang memberitahu filem kegemaran mereka adalah Goodfellas.
"Kemudian mereka akan tanya apa 'episod' terbaik dalam pembikinan filem itu, dan jawapan saya sama... Ray Liotta," tulisnya menerusi laman Twitter.
Liotta juga membintangi filem Field of Dreams dan beberapa siri televisyen termasuk Shades of Blue dan memenangi Anugerah Emmy pada 2005 bagi kategori pelakon pembantu menerusi drama"ER".
Mendiang Ray Liotta meninggalkan anak perempuannya Karsen Liotta, serta tunangnya Jacy Nittolo yang dikatakan turut berada di lokasi penggambaran. - Awani