Ajal lalu jalan laut

Iklan
Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Tumpat.

TUMPAT - Perjalanan pulang seorang nelayan bertukar tragedi apabila dia lemas jatuh laut selepas botnya terbalik dipukul ombak di kuala Pantai Suri, hari ini.

Mangsa, Lazim Yusoff, 43, menaiki bot fiber mahu pulang ke rumahnya di Pantai Haji Nik Mat ditemui lemas jam 2.15 petang.

Iklan
Iklan

Abangnya, Anuar Yusoff, 53, berkata, Allahyarham adiknya pulang melalui jalan laut selepas ke rumah bapa saudaranya, di kampung Baru Nelayan, di sini.

"Biasanya dia pulang ikut jalan sungai tetapi hari ini dia pulang ikut jalan laut, mungkin lebih dekat ikut jalan laut.

Iklan

"Allahyarham mempunyai tiga anak tidak ke laut hari ini, cuma ke rumah bapa saudaranya.

"Saya dapat tahu adik saya lemas selepas dihubungi ahli keluarga jam 1.30 tengah hari," katanya.

Iklan

Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian dan melihat sudah ramai nelayan mencari mangsa.

"Tiba-tiba kami yang berada di kawasan itu ternampak seperti badan manusia dalam gulungan ombak di muka kuala itu.

"Kami terus menghampiri objek itu dan ternyata itu adalah mayat adik saya.

"Kami terus angkat mangsa ke dalam bot nelayan dan bawa pulang ke Pantai Ndo, Tumpat dan terus ke bilik mayat Hospital Tumpat," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Che Latif, di Kuala Besar, Kota Bharu malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.