SHAH ALAM - Forum Media Nasional anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) akan mengupas isu-isu mendepani bidang kewartawanan pada era Revolusi Industri Keempat atau IR4.0 Ahad depan.
Forum bertemakan Kewartawanan dan Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang itu akan menampilkan enam orang ahli panel yang juga merupakan tokoh media yang berpengalaman di negara ini.
Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) MPI, Norlida Jamian berkata, ahli-ahli panel tersebut akan berkongsi pengalaman mengenai model perniagaan media yang sesuai demi kelangsungan dunia kewartawanan pada masa kini.
Ujar Norlida, ia susulan berlakunya pendigitalan, kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan robotik dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuk bidang kewartawanan.
"Ahli-ahli panel forum yang dipilih mencerminkan ekosistem semasa landskap media di Malaysia yang mewakili kewartawanan alam nyata dan alam maya.
"Sekarang bukan masa untuk kita bernostalgia dengan kegemilangan kewartawanan silam tetapi sebaliknya mempersiapkan organisasi dengan ilmu dan pengetahuan bagi kelangsungan masa depannya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Enam orang ahli panel itu terdiri daripada Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; ahli akademik bidang kewartawanan, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohammad Azlan Jaafar.
Panel lain ialah Pengarah Editorial Free Malaysia Today, Jasbant Singh Pratap Singh; mantan Ketua Pengarang atau Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran serta Wartawan Kanan Daily Express, Kota Kinabalu Sabah, Hayati Dzulkifli.
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa dijangka menyampaikan ucapan penutup manakala Pengerusi Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang juga Presiden Ikatan Wartawan Malaysia dan Indonesia (Iswami), Datuk Mokhtar Hussain akan menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program berkenaan.
Program forum itu bakal berlangsung pada jam 9 pagi bertempat di Hotel Hatten, Melaka.
Dua wartawan berpengalaman iaitu Datuk Seri A Jalil Hamid dan Datuk Dr Chamil Wariya akan bertindak sebagai moderator bagi forum dua sesi tersebut.
Forum kerjasama Sekretariat Hawana 2022 itu diterajui oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dianggotai oleh organisasi media di negara ini.