Pesara bomba redah arus, gendong penduduk terperangkap banjir

Iklan
Mohamad Yunus dibantu penduduk kampung mengendong seorang warga emas meredah arus deras untuk dibawa ke tempat lebih selamat dalam kejadian banjir, Rabu lalu.

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Jiwa penyelamat seorang pesara bomba masih menebal apabila sanggup mengendong dan memapah penduduk yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Poh dekat Bidor pada Rabu.

Tindakan bekas Timbalan Ketua Pengajian Penyelamat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Mohamad Yunus Abu itu berjaya membantu mengeluarkan tujuh penduduk untuk dibawa ke tempat lebih selamat selepas kediaman masing-masing dinaiki air mencecah hampir satu meter.

Iklan
Iklan

Mohamad Yunus, 48, berkata, kejadian sekitar jam 4 petang itu tidak dijangka kerana pada kebiasaannya setiap kali hujan lebat, air sungai yang melimpah tidak sampai masuk ke rumah.

Bagaimanapun menurutnya, kejadian kali ini paras air naik mendadak selain arus deras membawa bersama lumpur serta serpihan kayu dan pokok.

Iklan

"Saya ketika itu ada di kandang menguruskan ternakan kambing dan bila nampak air sungai mula melimpah, saya terus keluar menuju ke rumah penduduk.

"Dalam fikiran saya hanya mahu membawa penduduk keluar ke tempat lebih selamat dengan segera kerana keadaan arus ketika itu semakin deras dan air naik begitu cepat.

Iklan

"Jika menunggu lagi, takut-takut mangsa terus terperangkap dan menyukarkan mereka keluar menyelamatkan diri, apatah lagi ada kalangan penduduk merupakan warga emas," katanya yang kini menetap di Kampung Poh Tambahan.

Mohamad Yunus

Mohamad Yunus yang bersara pilihan pada Januari lalu membantu membawa seorang warga emas yang tidak boleh berjalan akibat uzur dengan mengendongnya meredah arus deras sejauh hampir 100 meter.

Beliau turut menyelamatkan seorang suri rumah yang hampir hanyut dibawa arus deras ke lokasi lebih selamat selain membantu memindahkan peralatan rumah yang ditenggelami air.

Tindakan pegawai bomba yang pernah menjawat jawatan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak itu sempat dirakam penduduk kampung sebelum videonya tular di media sosial.

Beliau mengakui, terpaksa bertindak menyelamatkan penduduk meskipun tanpa sebarang peralatan keselamatan kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku apatah lagi pasukan keselamatan tidak dapat dihubungi disebabkan gangguan talian telekomunikasi.

Katanya, pengalaman sepanjang 15 tahun dalam pasukan beruniform itu menjadikannya tidak mampu hanya sekadar melihat individu lain dalam kesusahan.

"Saya memang telah bertekad, walaupun telah meninggalkan jabatan, saya mesti membantu mereka yang memerlukan dalam keadaan apa sekalipun.

"Bagi saya, semua pegawai dan anggota bomba pun begitu kerana kita semua telah dididik sebagai seorang jiwa penyelamat dan dilatih untuk berhadapan dengan situasi seperti itu," katanya.

Hujan lebat berterusan sejak jam 1 petang itu telah mengakibatkan 14 rumah penduduk di Kampung Poh, Bidor terjejas.

Kejadian turut mengakibatkan berlakunya kepala air yang memusnahkan tiga jambatan laluan keluar masuk penduduk ke kawasan penempatan, tanaman dan kuari.