MSN, Perhilitan jalin kerjasama 'selamatkan' Harimau Malaya

Iklan
Harimau Malaya. - Gambar hiasan

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atlet negara sempena Hari Belia Negara 2022 dan Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, program yang melibatkan atlet negara sebagai ikon itu adalah kerjasama bagi membantu Perhilitan menjayakan kempen Selamatkan Harimau Malaya sekali gus membangkitkan kesedaran mengenai populasi Harimau Malaya di negara ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Harimau Malaya melambangkan keberanian, sifat garang dan semangat juang kukuh yang sentiasa dipamerkan atlet-atlet negara setiap kali turun berjuang di gelanggang pertandingan.

"Arena sukan negara tidak asing dengan Harimau Malaya, pasukan bola sepak kebangsaan terkenal dengan jolokan ‘Harimau Malaya’ sementara skuad hoki kebangsaan pula berbangga dengan gelaran ‘Malaysian Tigers’.

"MSN sendiri adalah pemilik kepada paten corak belang harimau ‘Panthera Tigris’ yang digunakan oleh pasukan kebangsaan dalam pelbagai jenis sukan di pentas antarabangsa.

"Di sebalik sifat-sifat Harimau Malaya yang ingin diterapkan, saya juga berharap atlet-atlet negara turut membantu dalam usaha memulihara legasi Harimau Malaya”, katanya pada Khamis.

Iklan

Ahmad Shapawi berkata demikian sempena Majlis Persefahaman MSN dan Jabatan Perhilitan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai, Perak.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, Pengarah Bahagian Perancangan dan Korporat Perhilitan, Haidar Khan Mokbolhassan; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan MSN, Suhardi Alias dan Timbalan Ketua Pengarah Pengkomersialan dan Pemasaran MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Iklan

Selain itu, beberapa atlet negara seperti Al Jufferi Jamari, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Luqman Laji dari sukan silat, Tan Cheong Min (wushu), Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), R Partiben dan Muhammad Faiz Haizat Rosli (para olahraga) turut hadir bagi menjayakan program berkenaan.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Perhilitan, Datuk Fakhrul Hatta Musa Fakhrul Hatta berkata, kerjasama berkenaan diharap dapat membantu menerapkan semangat Harimau Malaya dalam diri setiap atlet untuk berjuang dan seterusnya mengharumkan nama negara dalam semua pertandingan yang disertai kelak.

"Menerusi kerjasama ini, kita harapkan semangat Harimau Malaya itu akan dapat diserapkan dalam diri atlet negara.

"Terima kasih kepada pihak MSN yang sudi bekerjasama dengan kami bagi menjayakan kempen ini,” katanya.