Peniaga pakaian didakwa menipu

Iklan
Ooi Yee Ling (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta, dua tahun lepas. - Foto Bernama

IPOH - Seorang peniaga pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Ooi Yee Ling, 46, didakwa menipu Wong Kam Poh dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan memulangkan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta itu yang mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM900,000 ke dalam akaun RHB Bank syarikat milik tertuduh.

Iklan
Iklan

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di 276A, Jalan Sultan Nazrin Shah, Gunung Rapat, di sini antara 10 hingga 27 Oktober 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan Yee Ling diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 hari bulan selain pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Kenzaly Goik. - Bernama