Bersatu berhak usul nama calon pengganti Zuraida

Iklan
Wan Saiful (dua, kanan) beramah mesra bersama pemandu teksi ketika program minum pagi bersama Persatuan Pemandu Teksi Pekan Changlun, pada Jumaat.

KUBANG PASU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhak mengusulkan nama calon yang boleh menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan Ahli Parlimen Ampang itu menyatakan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu berkenaan tidak patut dipolemikkan kerana pelantikan semua menteri adalah pencalonan daripada parti.

Iklan
Iklan

"Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) hanya mencadangkan nama calon untuk dipertimbangkan kerana pelantikan tersebut adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

"Cadangan nama tersebut akan diserahkan dalam masa terdekat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya ketika program minum pagi bersama Persatuan Pemandu Teksi Pekan Changlun di sini, pada Jumaat.

Iklan

Menurut Wan Saiful, Muhyiddin pastinya sudah ada memikirkan mengenai calon bagi menggantikan Zuraida.

"Saya pasti Muhyiddin ada calon yang difikirkan beliau. Isu Zuraida bukan isu baru dan tidak akan ambil masa yang lama dalam hal ini," katanya.

Iklan

Pada Khamis, Zuraida berhasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida bagaimanapun menyatakan kekal menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri selari dengan pendirian PBM.