KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada Ahad ini diharap dapat membentuk sebuah Kesatuan Wartawan Malaysia yang bersatu padu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin turut mengambil contoh kesatuan media di Indonesia yang kukuh sehingga boleh mengambil tindakan dan menentukan hukuman terhadap media atau wartawan di negara itu.
"Dalam konteks garis panduan dan tata etika, (mereka) yang akan menghukum. Jadi, tidak timbul cerita mengenai wartawan atau media diheret ke mahkamah sebab pihak berkuasa akan meminta merujuk kepada kesatuan ini," katanya kepada Sinar Harian di Wisma Bernama pada Jumaat.
Hawana 2022 bertujuan mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia selain menjadi platform kepada pengamalnya untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.
Bernama dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) akan menjadi penggerak utama penganjuran Hawana 2022 disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.
Roslan juga berharap Kesatuan Wartawan Malaysia ini akan ditubuhkan dengan segera.
"Kita memang mahu segera kesatuan ini. Sepatutnya telah ada satu perbincangan (mengenai perkara ini)," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, perlu ada satu jawatankuasa terlebih dahulu melibatkan tokoh yang berpengaruh dalam media di Malaysia agar kesepakatan dapat dicapai.