Pan Borneo Sabah: Baki 19 pakej kerja guna peruntukan kerajaan

Iklan
Fadillah (dua, kiri) diberikan taklimat sewaktu meninjau pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sempena program jelajah raya pada Jumaat.

SANDAKAN - Baki 19 daripada 35 Pakej Kerja (WP) dalam fasa pertama projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melaksanakan projek itu menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri bagi mempercepatkan projek itu.

Iklan
Iklan

"Tiada lagi (keperluan PFI). Sekarang ini sedang dimuktamadkan melalui Kementerian Kewangan berkenaan kaedah pelaksanaan dan perolehan. Anggaran bila mula (dilaksanakan), sekarang ini tengah dimuktamadkan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu beliau meninjau WP 27, yang melibatkan kerja menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Batu 32 Sandakan sepanjang 18.1km, di sini sempena Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya (KKR) pada Jumaat.

Iklan

Fadillah memaklumkan keseluruhan Fasa 1 projek itu di Sabah dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengenai penyenggaraan jalan rosak di Sabah, beliau berkata, KKR akan sentiasa berusaha memastikan infrastruktur awam, khususnya jalan raya rosak dibaik pulih demi kesejahteraan rakyat.

Iklan

Menurutnya, terdapat sebanyak 47,223 lubang telah ditampal di Sabah, khususnya di jalan Persekutuan, sejak 2019 hingga bulan lepas (April).

Katanya, jumlah tampalan lubang tersebut menunjukkan trend peningkatan sebanyak 18 peratus setiap tahun, sekali gus menunjukkan jangka hayat jalan sedia ada memerlukan peruntukan penyenggaraan lebih besar.

"Terdapat juga jalan di Sabah yang telah tamat tempoh hayatnya dan perlu penurapan semula," katanya.

Program jelajah itu bermula Jumaat hingga 29 Mei bagi meninjau status projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan isu penyenggaraan jalan Persekutuan. - Bernama