SHAH ALAM - Bata Malaysia menerima kunjungan The Bata Exco Team dalam usaha mendapatkan perkongsian bernilai berkenaan idea dan visi di samping turut memanfaatkan sinergi melalui projek serantau serta global dari segi produk, jenama dan strategi komunikasi.
Bata Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, lawatan yang turut disertai oleh Presiden Pasaran Asia Pacific (APAC) Bata, Rajeev Gopalakrishnan mencapai objektifnya bagi strategi perniagaannya selaras dengan sasaran Global 2025 Melangkah Ke Hadapan.
Pada kunjungan tersebut, syarikat pengeluar kasut utama di Malaysia itu turut berkongsikan produk terbaharu bakal dipasarkan dan pada masa sama turut melakukan lawatan di beberapa stor jualan Bata di dalam negara.
Rajeev berkata, tempoh dua tahun lalu merupakan waktu yang mencabar, namun Bata Malaysia dilihat berjaya untuk meneroka kesemua peluang perniagaan yang wujud dan bergerak dengan pantas.
"Mereka berjaya menjangkau pelanggan dengan perkhidmatan dan produk terbaik walaupun menghadapi pelbagai sekatan ekoran Covid-19.
"Norma baharu di Malaysia kini dilihat memakai lebih banyak sneakers dan kasut kasual koleksi baharu kami tertumpu sepenuhnya untuk memenuhi keperluan itu dengan keselesaan yang tiada tandingan” katanya menerusi kenyataan tersebut.
Hadir sama pada kunjungan tersebut ialah Ketua Pegawai Pemasaran Bata Group, Isabelle Sakai; Ketua Pegawai Digital Bata Group, Arun Chandra Mohan; Pengarah Kewangan Wilayah Bata, Shaibal Sinha, Pengarah E-Dagang APAC, Inderpreet Singh dan Pengarah Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Geoffroy Berthon.
Dalam pada itu, Bata Malaysia turut memaklumkan bahawa syarikat itu telah telah mendapat pengiktirafan di bawah Kategori Runcit Kasut dalam Anugerah Antarabangsa Malaysia atas sumbangannya terhadap ekonomi negara dan amalan perniagaan yang revolusioner.
"Anugerah ini mengiktiraf sumbangan dan inisiatif untuk platform e-dagang baharu Bata iaitu ‘From Anywhere to Anywhere’ (FA2A)), yang menawarkan pengalaman beli-belah digital dengan peningkatan penglibatan pelanggan lebih baik dan peningkatan nilai bagi jualan cara moden dan tradisional," katanya.