'Hasrat bertanding Parlimen Tambun tak kacau pembahagian kerusi PH'

Iklan
Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di kediamannya di Ipoh, pada Jumaat.

IPOH - Hasrat Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang menawarkan diri sebagai calon bagi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 tidak menganggu pengurusan pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH).

Abdul Aziz juga mendakwa, beliau tidak mengetahui wujudnya Jawatankuasa Perundingan Kerusi seperti yang dimaklumkan oleh Pemuda Amanah Perak.

Iklan
Iklan

"Saya menyatakan keinginan hendak bertanding melibatkan satu kerusi sahaja, Jadi, apa masalahnya dan setahu saya tiada proses rundingan. Jawatankuasa itu pun tiada.

"Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan menganggu proses rundingan. Kita sebut satu kerusi sahaja bukan hendak 12 kerusi atau 10 kerusi. Tidak sepatutnya timbul isu.

Iklan

"Saya hanya menyatakan keinginan bukan satu keputusan meletakkan saya sebagai calon. Pemuda Amanah patut jumpa dan bincang kerana saya rasa ada maklumat yang dia tidak tahu," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya, pada Jumaat.

Media melaporkan Pemuda Amanah Perak meminta semua pihak dalam PH negeri menghormati mandat diberikan kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi.

Iklan

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, kenyataan terbuka bersifat peribadi harus dielak supaya proses perundingan dihormati dan semua parti dapat menjaga keharmonian dengan membawa apa sahaja isu berkaitan dalam mesyuarat rasmi jawatankuasa tersebut.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, pengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri sebelum ini selain Ketua Pembangkang memberi kelebihan untuknya bekerja di kawasan Parlimen tersebut sejak dua tahun lalu.

"Secara prinsipnya kerusi Tambun ini kosong dalam konteks PH, bukan milik DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Amanah. Saya hulurkan tangan sediakan platform untuk rakyat di kawasan itu terus bersama PH.

"Rakyat sudah tidak mahu 'calon helikopter' sebaliknya mereka mahu seseorang yang boleh turun padang dan dapat menyelesaikan masalah," katanya.