Deepak gagal kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah, tiga yang lain

Iklan
Ahli perniagaan, JR Deepak Jaikishan (kanan) dan dua lagi gagal mengembalikan semula saman difailkan terhadap Najib (kiri), Rosmah dan tiga yang lain berhubung dakwaan konspirasi yang menyebabkan mereka alami kerugian. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Ahli perniagaan, JR Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal dalam usaha mereka untuk mengembalikan semula saman yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan tiga yang lain berhubung dakwaan konspirasi yang menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf sebulat suara menolak permohonan mereka untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengembalikan semula saman itu dan tiga lagi saman berkaitan terhadap pihak lain.

Iklan
Iklan

Hakim Rohana yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang berkata, mahkamah mendapati tiada kesilapan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, yang memerlukan campur tangan mahkamah.

Deepak diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, manakala peguam Datuk David Matthews mewakili Najib dan Rosmah dan peguam Robert Lazar bertindak bagi pihak Bakti Wira Development Sdn Bhd dan Boustead Holdings Berhad.

Iklan

Pada 29 April lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Deepak, J Rajesh dan Radiant Splendor Sdn Bhd untuk mengembalikan semula saman terhadap Najib, Rosmah; bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; adik lelaki Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas setiausaha sulit utama Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Saman yang difail pada September 2018 itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2020.

Iklan

Dalam saman itu, Deepak, saudaranya Rajesh dan Radiant Splendor mendakwa defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang, dan menuntut ganti rugi am.

Deepak turut memfailkan saman terhadap Bakti Wira Development Sdn Bhd, Najib, Rosmah serta Boustead Holdings Berhad berkaitan perjanjian urusan tanah yang didakwanya mengakibatkan kerugian besar kepada syarikatnya.

Pada 8 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membatalkan saman itu. - Bernama