JERLUN - Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhasrat untuk kekal bertanding di kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Mukhriz tidak berhasrat untuk menggantikan kerusi yang ditandingi ayahandanya, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi selepas Ahli Parlimen Langkawi itu mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi terbabit.
"Saya lebih selesa kekal di Jerlun sebab ini adalah tempat saya sejak dahulu. Tidak ada sebab untuk saya pindah bertanding di tempat-tempat lain,” katanya selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AhIi Parlimen Jerlun di Dataran Sungai Korok di sini pada Jumaat.
Mukhriz berharap sokongan pengundi di Parlimen Jerlun terhadap dirinya tidak berubah meskipun beliau kini menerajui Pejuang.
"Saya lihat begitu ramai hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri ini dan berharap sokongan tetap sama, InsyaAllah,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Pejuang mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.
Keputusan tersebut dibuat atas faktor usia dan kesihatannya selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), selain mahu memberi peluang kepada calon baharu yang lebih muda dan sesuai.
Mengulas mengenai penerimaan orang ramai terhadap Pejuang, Mukhriz menyifatkan parti itu diterima baik di Kedah susulan ramai daripada tokoh utama dalam parti adalah anak kelahiran Kedah.
"Tokoh-tokoh di sebalik Pejuang ramai sekali dari Kedah, antaranya Dr Mahathir dan saya sendiri, selain Setiausaha Agung, Datuk Amiruddin Hamzah serta Datuk Marzuki Yahya yang merupakan Timbalan Presiden pun anak kelahiran Kedah,” katanya.
Menurutnya, dari segi keahlian parti, Kedah merekodkan paling ramai ahli dan parti itu bukanlah asing kepada rakyat Kedah.
"Saya rasakan penerimaan amat positif bukan kerana parti itu sendiri sebab masih baru ditubuhkan, tak sampai setahun lagi. Malah logo pun belum orang kenal lagi. Sebaliknya parti ini ditunjangi pemimpin dari Kedah yang dikenali oleh rakyat negeri ini.
"Mungkin atas sebab itulah penerimaan Pejuang di Kedah sedikit berbeza dengan negeri-negeri lain. Namun itu tidak bermaksud kita tak beri perhatian kepada negeri-negeri lain, sebab ia pun penting. Cuma kita anggap Kedah sebagai asas kekuatan parti ini,” katanya.