THAILAND menyasarkan untuk mencapai nilai perdagangan AS$30 bilion (AS$1 = RM4.38) dengan Malaysia menjelang 2025, kata dutanya hari ini.
Chainarong Keratiyutwong berkata, Malaysia telah menjadi rakan terbesar Thailand dalam kalangan negara-negara ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai AS$24.08 bilion yang dicapai pada tahun lepas, lebih besar berbanding angka sebelum pandemik.
Katanya, Malaysia antara penyumbang utama kepada industri pelancongannya dengan empat juta ketibaan rakyat Malaysia menjadi kumpulan pelancong kedua terbesar dari segi ketibaan pada 2019 dan antara 10 ketibaan teratas sejak ia membuka semula sempadannya dan memulakan semula aktiviti pelancongannya.
"Walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas, hubungan diplomatik dua hala, ekonomi, sosial dan rakyat kepada rakyat tetap amat mesra, kukuh dan jelas.
"Ini membuktikan bahawa Thailand dan Malaysia serta negara-negara ASEAN lain bergerak ke hadapan bersama-sama untuk menghadapi masalah ekonomi semasa dan inflasi,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Festival ‘Think Thailand’ di Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.
Mengenai festival itu, Chainarong berkata, ia menampilkan lebih 30 gerai pameran oleh perniagaan Thailand sebagai inisiatif untuk menyokong peniaga dari kedua-dua negara dan meluaskan produk Thailand yang berkualiti ke Malaysia.
"Saya yakin usaha kita pada hari ini untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara akan menyumbang dan membolehkan kita mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2025 dan merapatkan rakyat kita sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kaunselor dan Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa Thailand, Worawan Wanwil berkata, acara itu akan turut menampilkan lebih 30 pengeksport Thailand yang mempamerkan produk Thailand yang baharu dan sedia ada yang terdiri daripada makanan dan minuman hingga perkhidmatan seperti urutan Thailand yang terkenal.
Katanya, beberapa promosi dalam kedai oleh rangkaian seperti Aeon, Segi Fresh dan NSK di Kuala Lumpur dan Selangor akan turut dijalankan sepanjang festival selama 12 hari itu.
Selain itu, padanan perniagaan kepada perniagaan telah diatur dengan lebih 50 pengeksport Thailand yang layak yang berjaya mendapat 63 padanan dengan jangkaan nilai perdagangan sebanyak RM30 juta setakat ini pada tahun ini.
"Apa yang boleh saya katakan ialah Think Thailand adalah lebih daripada sekadar pameran. Ia merupakan usaha operasi dan kerjasama sepenuhnya untuk mempamerkan produk, makanan dan perkhidmatan Thailand baharu kami dan yang sedia ada.
"Saya tahu kebanyakan rakyat Malaysia mengetahui mengenai orang Thailand dan budaya mereka dengan baik. Saya juga pasti rakyat Malaysia rindukan Thailand, justeru, kami membawa Thailand kepada anda,” katanya. - Bernama