KLANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memburu 60 pelarian Rohingnya yang masih bebas selepas meloloskan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap dalam insiden rusuhan di Pulau Pinang pada April lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihak KDN telah melancarkan operasi di beberapa lokasi di seluruh negara untuk mengesan saki-baki pelarian yang meloloskan diri tersebut.
"Operasi yang kita lakukan ini bukan sahaja di sini (Pasar Besar Meru), namun di seluruh negara. Kita mahu mengesan 60 baki warga Rohingnya yang masih lolos.
"Kita mahu maklumkan kepada rakan mereka yang tinggal di Malaysia bahawa kita akan tetap mengesan mereka sehingga berjaya.
"Sesiapa sahaja yang melindungi mereka, kita akan tahan kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan,” katanya ketika ditemui dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Pasar Besar Meru di sini lewat malam Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengarah Imigresen Selangor, Dr Muhammad Syahmi Jaafar dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin.
Beliau berkata, seramai 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia antara satu tahun hingga 55 tahun diperiksa dalam operasi yang bermula sekitar jam 9 malam.
"Daripada jumlah itu, 637 individu mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), manakala 51 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.
"Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644),”ujarnya.