SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) mendakwa wujud unsur rasuah yang dilakukan pihak tertentu dalam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hingga mendorong mereka membuat dasar yang menjahanamkan industri dan menzalimi pemandu teksi dan e-hailing.
Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, lebih menyedihkan, Perdana Menteri pada ketika itu turut didakwa telah bersubahat dan menggalakkan rakyat mencabuli Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333).
Menurutnya, ini termasuk akta yang dibuat kononnya untuk memartabatkan industri pengangkutan darat negara iaitu Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
"Sejak 2014 lagi, saya telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan khususnya SPAD, namun malangnya keangkuhan dan mungkin penularan gejala rasuah dalam suruhanjaya itu mendorong mereka membuat dasar yang menjahanamkan industri dan menzalimi pemandu.
"Alasan yang diberikan kemajuan teknologi dan menjana pendapatan sampingan rakyat. Tetapi hakikatnya, beliau gagal mewujudkan peluang pekerjaan dan menggunakan industri teksi untuk melepas tengkuk walaupun sedar tindakan itu menabur pasir ke dalam periuk nasi pemandu teksi dan kereta sewa.
"Tindakan memberi insentif, bersubahat dan menggalakkan rakyat mencabuli Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Darat 2010 benar-benar tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, sejak 2014 pemandu teksi dan e-hailing bising kerana kadar tambang Grab terlalu murah sehingga mewujudkan ketidakseimbangan persaingan antara mereka dan merugikan pemandu e-hailing.
Katanya, ketika itu kerajaan tidak berbuat apa-apa dan membiarkan ratusan ribu pemandu teksi dan e-hailing daripada golongan B40 hidup dalam derita.
"Sedangkan syarikat kapitalis terus mengaut keuntungan 10 hingga 20 peratus bagi setiap tempahan penumpang.
"Tetapi kini bila kadar tambang Grab melonjak naik sehingga menyebabkan orang ramai bising, kerajaan mula bersuara tetapi persoalannya sejauh mana tindakan kerajaan membetulkan keadaan?
"Rokok yang mendatangkan masalah kesihatan kepada rakyat pun dikawal harganya oleh kerajaan, tetapi pengangkutan awam yang menjadi keperluan rakyat khususnya golongan B40 dibiarkan syarikat kapitalis menentukan kadar tambang, di mana logiknya?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini akan melakukan perubahan dan membetulkan semula keadaan atau sebaliknya meneruskan kerosakan dan kehancuran yang dilakukan pemerintah terdahulu.
"Sama-sama kita nantikan, cuma apa yang dapat saya katakan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kini agak sedikit mudah untuk berurusan,” katanya.