KATHMANDU - Misi Keluarga Everest 2022 (KAME 2022) menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest terhalang disebabkan faktor cuaca dan keselamatan.
Salah seorang peserta, Muhammad Hawari Hashim, 32, berkata, dia diarahkan berpatah balik oleh ketua malim gunung disebabkan angin kencang, disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) sehingga 70 km per jam.
Menurutnya, kejadian berlaku 22 Mei lalu, jam 3 pagi (waktu Nepal) dan ketika itu dia bersama tiga pendaki lain iaitu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, Koperal Pragash Murugesu, dari Kem Ulu Kinta,Perak dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng.
"Kedudukan kami ketika itu berada kira-kira 7,600 meter (m) dari paras laut (8,849 m ketinggian Everest) di 'yellow band' antara kem tiga dan kem empat dan hanya memerlukan anggaran masa 16 jam untuk tiba di puncak.
"Kami berempat cuba meneruskan pendakian pada jam 7 pagi (waktu Nepal), namun cuaca bertambah buruk sehingga menyebabkan penglihatan terbatas akibat ribut salji yang melanda,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu.
Mengikut jadual, KAME 2022 memulakan misi pada 17 April lalu dan dijadualkan berakhir pada 5 Jun ini.
Enam peserta lain yang turut menyertai misi tersebut terdiri dua anggota Komando 69 Ulu Kinta, Mohammad Hanif Che Ahmad dan Inspektor Kanang Usin; jurutera, Ahmad Murshid Maktar; kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin serta Pegawai Sukan, Rina Jordana Adnan.
Sementara itu, Ketua Misi KAME 2022, Azim Afif Ishak, pula berkata, misi menawan puncak tertinggi dunia tersebut sebenarnya mampu direalisasikan, namun terpaksa akur apabila berhadapan faktor cuaca di luar jangkaan.
"Setakat ini kesihatan semua peserta dalam keadaan baik dan masing-masing tidak berhadapan sebarang simptom selepas pemeriksaan dilakukan pihak perubatan KAME 2022.
"Kita juga menerima maklumat dari pihak kaji cuaca Nepal yang memaklumkan pada bulan ini salji juga mula mencair awal dan aktiviti pendakian ke puncak Everest ditutup pada hujung bulan ini atas faktor keselamatan,” katanya.
Tambah Azim, misi yang mendapat sokongan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu terpaksa ditangguhkan ke Mac tahun depan dan akan melibatkan peserta yang sama.