KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menjangkakan agihan peranti tablet percuma menerusi inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam kalangan B40 dapat dilaksanakan pada Julai ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, kelewatan selama sebulan tempoh agihan peranti tersebut berbanding jadual asal pada Jun tidak dapat dielakkan berikutan isu pembukaan semula tender pembekal alatan tersebut.
Katanya, pembukaan semula proses permohonan tender pembekal yang baharu dalam tempoh tiga hingga empat hari lalu dijangka dapat diselesaikan segera dan K-KOMM dijangka akan menerima peranti-peranti tersebut pada Jun sekali gus agihan akan dapat dilakukan pada Julai.
"Sehingga 15 Mei lalu, ada kira-kira 100,000 permohonan terhadap program PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diterima oleh K-KOMM dan sedang ditapis oleh jawatankuasa peringkat kementerian ini sebagai pelaksana.
"Ada yang membuat tekaan isu tertangguh ini disebabkan program perlu dikaji semula dan tidak akan dilaksanakan lagi, itu tidak benar. Proses terus berjalan, cuma berlaku kelewatan selama sebulan kerana pelaksanaan pembukaan semula tender sahaja,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Komuniti Keluarga Malaysia dan Rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, di sini, pada Sabtu.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 20,000 tetamu dari penduduk setempat di Kelantan bagi menikmati pelbagai menu membabitkan hampir 20 gerai makanan selain turut diadakan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah antaranya telefon bimbit serta motosikal.
Mengulas lanjut, K-KOMM akan memperluaskan lagi pemberian peranti tablet percuma menerusi PerantiSiswa Keluarga Malaysia tersebut kepada penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam kalangan B40.
"Selain itu, pelajar di bawah institusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) juga akan dimasukkan dalam senarai pemohon yang layak sekiranya mereka daripada keluarga B40.
"Kita juga mempunyai tempoh masa dan dana yang mencukupi untuk memberi peranti percuma ini kepada jumlah penerima yang lebih ramai,” katanya.