KOTA KINABALU - Seorang guru dari Kolej Vokasional Keningau (KVK) tidak menyangka pelaksanaan projek dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak lima tahun lalu berjaya menambat hati pengundi sebelum dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.
Mohd Al Khalifa Mohd Affnan, 36, mengajar di KVK sejak 2010 memulakan projek untuk pelajarnya melalui pertukaran budaya ke Korea Selatan pada tahun 2017 untuk bidang STEM.
Guru berkenaan dicalonkan oleh bekas pelajarnya dan bersaing dengan 7,000 calon lain dari seluruh dunia sebelum disenarai pendek kepada 60 calon dan akhirnya enam yang terbaik sebelum keputusan akhir diketahui pada April lalu.
"Daripada enam calon serantau, saya menjadi pemenang dengan 26 peratus daripada keseluruhan undian.
"Penyertaan ini bukan disertai saya sendiri. Sesiapa pun boleh dicalonkan sama ada guru, pelajar dan orang awam di mana individu itu boleh memberi impak kepada komuniti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.
Anak kelahiran Selangor itu tidak menyangka kemenangannya itu tular di media sosial selain mendapat liputan media massa.
"Saya sendiri pun tidak menyangka dan apabila dihubungi oleh media. Ada individu yang meminta tips dan saya cuma katakan perlu keberanian untuk melakukannya," katanya.
Mengulas mengenai program yang dilaksanakannya, Mohd Al Khalifa memaklumkan ia kerana minatnya untuk memberi pendedahan kepada pelajar dengan dunia luar terutama dalam bidang STEM.
"Objektif ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar khususnya di KVK supaya lebih terbuka mendalami ilmu STEM Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) berhubung pengetahuan robotik, dron, pengaturcaraan secara asas.
"Kita juga mahu memberi pendedahan kepada pelajar melalui pengalaman berkomunikasi dengan warga asing," katanya.
Tambahnya lagi, bukan mudah untuk melaksanakan projek itu dan ia turut mendapat bantuan daripada rakan sepasukan sehingga projek berkenaan diteruskan hingga kini.
"Lagi pun untuk menjalin kerjasama dengan sekolah di luar negara juga memerlukan hubungan yang baik dengan mereka dan kebetulan saya mempunyai peluang itu, jadi mudah saya melakukan kerjasama pertukaran pelajar ke Korea Selatan.
"Walaupun dilanda pandemik kita lakukan secara dalam talian. Untuk tahun ini kita masih teruskan tetapi agak perlahan kerana disebabkan pembelajaran secara bersemuka baru dimulakan jadi fokus kepada akademik dulu," katanya.
Sebelum itu, dalam hantaran Facebook rasmi Istana Negara pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Al Khalifa yang dinobatkan sebagai pemenang global bagi anugerah itu.