Asas ekonomi kukuh, pengurusan berhemah sumbang pengukuhan ringgit

Iklan
Nilai ringgit dijangka kekal stabil susulan BNM menguruskan mata wang tempatan secara aktif. Gambar kecil: Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR - Asas ekonomi kukuh dan pengurusan ringgit yang berhemah mampu menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS walaupun terdapat beberapa faktor sementara yang menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit buat masa ini, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, berdasarkan faktor-faktor semasa, nilai ringgit dijangka kekal stabil memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) menguruskan mata wang tempatan secara aktif untuk memastikan turun naik ringgit adalah terkawal dan tidak keterlaluan supaya sektor ekonomi dapat membuat perancangan pelaburan dan perbelanjaan berdasarkan nilai ringgit yang lebih stabil.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya, yang lebih penting ialah asas-asas kukuh dalam ekonomi kita seperti prospek pertumbuhan ekonomi negara yang kekal teguh,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ringgit akan terus mengukuh berikutan ekonomi berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 dan lima peratus pada suku pertama 2022.

Iklan

"Ini turut dicerminkan oleh analisa terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan perkembangan KDNK Malaysia sebanyak 5.75 peratus pada 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh.

"Pada masa yang sama, jangkaan baki akaun semasa yang kekal dengan lebihan bermakna permintaan terhadap ringgit terus kukuh,” katanya.

Iklan

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan (MOF) yakin terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara yang teguh yang dijangka berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022, sekali gus menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit.

"MOF dan BNM akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara, dan akan memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia terus terpelihara,” katanya. - Bernama