SHAH ALAM - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap semua pihak dapat menyemak terlebih dahulu berita yang tidak diketahui kesahihannya bagi mengelakkan timbul fitnah.
"Inilah yang terjadi sejak dahulu, sehingga ALLAH meletakkan garis panduan agar dilakukan 'tabayun' apabila mendapat sesuatu berita daripada orang fasik.
"Namun, dalam dunia yang terbuka, tidak lagi dapat dipastikan apakah sumber berita itu daripada golongan fasik, zalim atau kuffar. Maka langkah terbaik ialah menyemak apakah berita itu ada dalam portal rasmi atau sebaliknya.
"Pastikan hanya berita yang mendapat pahala disebar. Jangan ghairah mengejar 'like' dan 'share', 'follower' atau bayaran yang diperoleh sahaja," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Sabtu.
Beliau dipercayai mengulas mengenai permohonan maaf susulan fitnah satu kumpulan Facebook berkenaan isu bela ayam.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim memberitahu tidak mempunyai masalah untuk memaafkan fitnah yang telah dilemparkan.
"Tetapi fitnah terus tersebar merata dunia, dan maki hamun cerca telah melakar di mana-mana.
"Yang mengulas tidak menarik ulasan dan yang percaya akan terus menambah keyakinan. Kerana pembetulan dan permohonan maaf tidak akan disebar sebagaimana cepatnya berita fitnah tersebar," katanya.