MELAKA - Kumpulan wartawan muda disarankan menjadi penggerak dalam mewujudkan sebuah badan induk bagi mengangkat suara wartawan dan pengamal media di negara ini.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (Iswami), Datuk Mokhtar Hussain berkata, usaha tersebut penting supaya pandangan, cadangan, idea dan fikiran yang diutarakan golongan berkenaan didengari dan diberi perhatian.
Menurutnya, ini adalah masa yang tepat kepada kumpulan wartawan muda untuk menggerakkan usaha bagi mengangkat suara pengamal media lebih-lebih lagi dengan keadaan semasa yang mencabar.
"Tiba masanya untuk kita perlukan satu badan induk yang boleh mengangkat suara pengamal media.
"Kita melihat perlu atau tidak untuk diadakan persatuan induk kerana banyak persatuan wartawan di Malaysia tapi tidak ada yang dapat menjadi 'payung'," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Forum Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Hotel Hatten, di Banda Hilir di sini pada Ahad.
Jelas beliau, Hawana 2022 di Melaka menjadi garisan permulaan sebagai platform memantapkan serta memperkasakan masa depan dunia kewartawanan negara, sekali gus menjadi medium penyatuan kumpulan wartawan yang lebih mantap dan bersuara melalui satu platform yang sama.
"Kita tidak dapat berhimpun dalam skala yang besar tetapi Hawana 2022 ini tetapi kita berjaya adakan di luar Kuala Lumpur dan tentu akan ditambah baik pada tahun akan datang," katanya.