Pelancongan sukan medium promosi Selangor

Iklan
Sebahagian peserta yang menyertai penganjuran MCIS Life-Malaysia Women Marathon 2022.

PETALING JAYA - Pelancongan sukan menjadi sebahagian daripada fokus Tourism Selangor dalam mempromosi pelancongan domestik dan antarabangsa bagi meningkatkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Shah Mohamad berkata, pihaknya turut bekerjasama dalam penganjuran Malaysia Women Marathon (MWM) bagi mempromosikan Selangor kepada pelancong dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penganjuran MCIS Life-Malaysia Women Marathon 2022 (MCIS Life-MWM) pada Ahad berjaya menarik penyertaan 1,000 wanita dan lelaki apabila membuat kemunculan semula selepas dua tahun terhenti akibat pandemik.

"Malah, tema acara MCIS Life-MWM kali ini adalah selaras dengan Kempen Pusing Selangor di mana pelancong tempatan digalakkan untuk meneroka tempat-tempat yang menarik di Selangor,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup MCIS Life-MWM diadakan di Padang Timur, Seksyen 2 Petaling Jaya di sini pada Ahad.

Majlis perasmian MCIS Life-MWM 2022 disempurnakan Ketua Pengagihan dan Pemasaran MCIS Life, Ragunath Murthy dan Ikon Sukan Negara, Josephine Mary serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MCIS Life, Prasheem Seebran berkata, acara itu adalah maraton kompetitif pertama diadakan selepas pandemik Covid-19, namun terpaksa mengehadkan penyertaan kepada maksimum 1,000 peserta sebagai langkah keselamatan pasca Covid-19.

"Acara sukan fizikal ini dianjurkan dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kehadiran serta semangat peserta hari ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia teruja untuk mencapai matlamat kecergasan mereka melalui acara yang membolehkan mereka menguji tahap ketahanan fizikal masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, johan bagi kategori wanita terbuka 42 kilometer MCIS Life-MWM 2022 dimenangi Loh Chooi Fern dan kategori veteran wanita pula dimenangi Ewe Bee Hong, sementara bagi kategori lelaki milik Muhaizar Mohamad.

Bagi jarak 21 kilometer, kategori wanita terbuka dimenangi Noor Amelia Musa, manakala kategori veteran wanita dimenangi Lee Siok Chin dan bagi kategori lelaki 22 kilometer milik Elvis Kyalo Kisavi.

Juara siri kejohanan pada kali ini akan mewakili Malaysia di Marathon Sydney pada 18 September di Hyde Park, Sydney, Australia

MCIS Life-MWM 2022 di Petaling Jaya adalah permulaan kepada siri seterusnya yang akan berlangsung di Ipoh dan Iskandar Puteri, Johor, yang akan diadakan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Acara berakhir penuh kemeriahan dengan upacara penyerahan bendera simbolik kepada Pengarah Komuniti Bandaraya Majlis Perbandaran Ipoh, Normala Latiff oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir, selepas majlis penyampaian hadiah.