Polis rampas dadah RM26.5 juta

Iklan
Ayob Khan (dua kanan) melihat dadah yang dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar ibu kota pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis merampas sejumlah pil dan serbuk dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM26.5 juta selepas menyerbu dua unit kondominium mewah di sekitar ibu kota pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam empat serbuan berasingan bermula jam 4.30 petang hingga jam 11.10 malam itu, seorang lelaki warga tempatan yang juga dalang sindiket bersama tiga wanita warga China berusia 48 hingga 56 tahun ditahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sindiket yang aktif sejak penghujung tahun lalu itu menyewa dua kondominium mewah berkenaan dengan harga RM2,500 setiap unit untuk dijadikan stor serta memproses dadah sebelum dijual ke pasaran tempatan.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita pelbagai aset sindiket termasuklah dua kenderaan (RM115,000), wang tunai RM3, 000, jam tangan (RM2,000) dan barang kemas (RM2,000).

Iklan

"Kesemua aset yang disita itu bernilai RM122,000 dan keseluruhan rampasan dadah adalah berjumlah RM26,622,000," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Ahad.

Ayob berkata, lelaki tempatan itu dipercayai bertanggungjawab mengajar wanita dari negara China untuk memproses dan membungkus dadah.

Iklan

"Salah seorang daripada wanita itu adalah teman wanita suspek dan dia diajar menguruskan dadah yang diproses.

"Semakan juga mendapati tiga wanita tersebut masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial," katanya.

Katanya, sindiket itu menyasarkan pelanggan di kelab malam dan pasaran tempatan.

"Dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 880,967 penagih.

"Kesemua yang ditahan direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.