JELI - Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) akan menerajui agenda negara menua bagi memperkukuhkan usaha negara dalam menghadapi negara menua menjelang tahun 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata gerak kerja agenda ini akan disokong oleh kementerian berkaitan serta semua pihak berkepentingan, selaras dengan ‘pendekatan keseluruhan negara’.
"Tujuan agenda ini adalah untuk memantapkan lagi persediaan negara dalam menghadapi negara menua menjelang 2030 secara menyeluruh.
"Impak negara menua merentasi pelbagai sektor dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan dan kebajikan warga emas sahaja yang merangkumi aspek cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh serta penggunaan teknologi yang akan menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN dan Penerbitan Utama Banci Malaysia 2020 peringkat Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata impak negara menua bergantung kepada sejauh mana persediaan sesebuah negara untuk menanganinya yang mana kerajaan telah mengambil langkah persediaan awal untuk menangani isu penuaan penduduk sejak tahun 1995.
"Di samping Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas (PTWEN), Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) telah ditubuhkan sebagai mekanisme bagi memantau keberkesanan segala program dan aktiviti berkaitan dengan golongan warga emas bagi merealisasikan DWEN.
"Perkara ini diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.
Beliau berkata, hasil banci Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 menunjukkan 6.8 peratus daripada 32.4 juta penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 1.4 juta orang pada 2010.
"Perak mencatatkan peratusan penduduk tua tertinggi dengan 8.9 peratus penduduknya melebihi 65 tahun pada tahun 2020, diikuti Perlis dan Kedah masing-masing mencatatkan 7.9 peratus dan Sarawak sebanyak 7.5 peratus," katanya.- Bernama