Deklarasi Melaka 2022: Beri ruang wartawan lapor berita sahih

Iklan
Ahmad Zaini (lima dari kiri) menyampaikan Deklarasi Melaka 2022 sempena Hawana 2022 di Hotel Hatten pada Ahad. Turut sama, Khairdzir Yunus, Esther Ng, Kuik Cheng Kang, Rozaid, M Periasamy dan Kamaruddin Mape. Foto: Bernama

MELAKA - Pengamal media hari ini sebulat suara mahu wartawan Malaysia diberi ruang dalam menyampaikan laporan sahih dan seimbang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu merupakan antara lima inti pati Deklarasi Melaka 2022 yang dibacakan Pemangku Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Deklarasi Melaka 2022 itu kemudian diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Khairdzir Yunus diiringi Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Che Roslan Che Daud, Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star Esther Ng.

Turut mengiringi ialah Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman; Pengarah Urusan Tamil Malar Daily Datuk M Periasamy, Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Media Prima Kamaruddin Mape dan Ahmad Zaini.

Iklan

Deklarasi itu menyebut dalam memelihara dan mengangkat martabat kewartawanan, sewajarnya petugas media diberi kebebasan dalam menjalankan tugas dengan sebaik mungkin tanpa halangan atau sekatan mana-mana pihak.

"Dengan yang demikian, wartawan dapat membuat liputan dan laporan yang menegakkan nilai integriti, relevan serta sahih,” menurut deklarasi itu.

Deklarasi itu turut menyatakan bahawa kewartawanan yang amanah dan bertanggungjawab merupakan aset penting dalam pembangunan negara bangsa.

Iklan

Justeru, kewartawanan perlu mengekalkan fungsi dan peranannya sebagai ‘pemerhati’ untuk mengawasi tata laku dan tadbir urus negara agar pemerintahan negara sentiasa berintegriti dalam semua aspek.

Menerusi Deklarasi Melaka 2022 itu, wartawan turut menyatakan ikrar agar media bertauliah perlu bersatu untuk memerangi penyebaran berita palsu yang boleh membahayakan individu, organisasi dan kerajaan.

"Kewujudan internet mempercepatkan proses penyampaian berita dan segala maklumat lama serta baharu sehinggakan media sosial menjadikan masyarakat Malaysia lebih peka kepada keadaan sekeliling.

"Keadaan ini boleh menyebabkan penyebaran berita palsu mudah berleluasa dengan ia direka semata-mata untuk menarik perhatian netizen dan menjadi isu hangat,” menurut deklarasi itu.

Selain itu, deklarasi itu juga menyatakan agar wartawan perlu menjunjung Perlembagaan dan Prinsip Rukun Negara kerana mereka menjadi sebahagian daripada proses pembinaan negara serta memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.

Di Malaysia yang demokratik, wartawan menggunakan kemahiran untuk mewujudkan suasana saling menghormati, saling mempercayai dan saling memahami di kalangan masyarakat dan mencegah timbulnya perasaan curiga dan prasangka.

Selain itu, Deklarasi Melaka 2022 menyatakan sebagai tunjang dalam memacu hala tuju negara, kewartawanan menjadi medium dalam memartabat integriti supaya menjadi amalan tadbir urus negara serta boleh menjadi pegangan prinsip masyarakat umum.

"Ini boleh mengelak amalan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah dan penyelewengan di Malaysia,” menurut deklarasi itu. - Bernama