Untung tak dapat, 'pelaburan' lesap

Iklan
Penjawat awam kerugian RM21,550 akibat diperdaya sindiket pelaburan saham yang tidak wujud. Gambar kecil: Ahmad Adnan

TELUK INTAN - Hasrat seorang penjawat awam untuk mendapat keuntungan sekelip mata selepas melabur sebanyak RM21,550 tidak kesampaian akibat ditipu sindiket pelaburan saham yang tidak wujud pada Khamis lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu pada mulanya tertarik iklan pelaburan Forex dengan keuntungan yang sangat lumayan di laman Facebook.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berhubung dengan sindiket menerusi aplikasi Telegram serta WhatsApp dan memilih pakej emas iaitu menjanjikan keuntungan sebanyak 120 peratus dalam masa enam jam setelah menjadi ahli.

Menurutnya, mangsa tertarik selepas pakej yang dipilih itu dikatakan patuh syariah dan membuat tiga transaksi kemasukan wang dengan cara pindahan wang.

Iklan

"Jumlah pertama iaitu sebanyak RM3,000 sebagai yuran keahlian dan modal pelaburan. Kedua berjumlah RM5,800 merupakan pengaktifan bank untuk keluarkan wang daripada bank.

"Seterusnya sebanyak RM12,550 dibayar untuk tujuan yuran tukaran wang AS$ dengan ringgit Malaysia. Kesemua wang ini dimasukkan dalam akaun bank," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Ahmad Adnan berkata, mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi nombor telefon syarikat terbabit selain panggilannya disekat.

"Mangsa merasakan ada yang tidak kena dengan pelaburan berkenaan setelah imbuhan dividen yang dijanjikan tidak diterima.

"Mangsa yang telah kehabisan wang serta rasa tertipu tampil membuat laporan polis pada Sabtu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai sekali lagi diingatkan jangan mudah percaya dengan iklan pelaburan yang sedia ada di laman sosial.

"Pastikan buat semakan terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara bagi mengetahui status sesuatu skim pelaburan," katanya.