SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang mampu melahirkan lebih ramai pemain pelapis berbakat dalam sukan hoki pada masa depan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sekolah itu dipilih Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sebuah sekolah di negeri Selangor bagi memajukan sukan berkenaan.
"Walaupun SMK Pengkalan Permatang ini sekolah luar bandar tetapi tetap diberikan peluang untuk anak-anak ini berkecimpung dan bergiat maju dalam sukan hoki," katanya pada Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Perasmian Galeri Hoki SMK Pengkalan Permatang pada Ahad.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, lebih membanggakan apabila sekolah itu satu-satunya di negeri Selangor terpilih menyertai Liga Hoki Remaja Kebangsaan pada tahun lalu.
Beliau memberitahu, penyertaan dalam kejohanan yang memasuki tahun kedua itu telah menunjukkan prestasi membanggakan pada tahun lalu.
"Kita berada di kedudukan baik pada tahun lalu walaupun pemain kita berusia 15 hingga 18 tahun yang terpaksa bersaing dengan mereka yang berusia 23 tahun.
"Kemudahan kelengkapan disediakan kerajaan dan TNB ini, maka kita harap suatu hari nanti sekolah ini dapat melahirkan pemain hoki terkenal dalam negara seterusnya menjadi pemain bertaraf antarabangsa," ujarnya.
Jelas beliau, segala kemudahan termasuk padang dan pusat latihan berada dalam keadaan baik, bagaimanapun ia memerlukan penyelenggaraan berterusan.
"Saya akan berbincang dengan pengurusan tertinggi TNB sekiranya kita perlu menaik taraf padang sedia ada," jelasnya.