[VIDEO] Anugerah Hawana 2022 bukti Kumpulan Karangkraf diiktiraf

Iklan
Ismail Sabri (dua kanan) menyampaikan Anugerah Hawana 2022 bernilai RM10,000 kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (dua, kiri) ketika hadir pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Hotel Hatten pada Ahad. - Foto Bernama

MELAKA- Kumpulan Karangkraf dipilih sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada majlis kemuncak sambutan Hawana di Banda Hilir, Melaka pada Ahad.

Penyampaian anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Iklan
Iklan

Hussamuddin yang ditemui berkata, anugerah itu merupakan penghargaan bagaimana wartawan, akhbar dan organisasi media tersebut boleh memberi impak kepada masyarakat.

Menurutnya, ini termasuk beberapa siri program dan kempen yang diperkenalkan serta dilaksanakan seperti Rumah Ngaji, kempen World #QuranHour dan #RasuahBusters.

Iklan

Katanya, pengiktirafan itu juga menunjukkan bahawa apa yang diusahakan selama ini bukan setakat menyampaikan berita, namun dapat menukarkan budaya dan juga mengembalikan integriti yang telah hilang kepada masyarakat.

"Di mana nilai moral dan karakter bangsa yang telah runtuh sebelum ini dapat dipulihkan melalui usaha-usaha yang telah dibuat oleh wartawan.

Iklan

"Syukur Alhamdulillah, Karangkraf diiktiraf pada hari ini dan di Karangkraf kita berpadu tenaga," katanya.

Tambahnya, kejayaan sedemikian juga tidak akan dicapai tanpa sokongan media-media lain untuk memulakan kempen-kempen tersebut.

"Kita (Karangkraf) akan terus istiqamah dan akan buat usaha-usaha untuk menanam nilai kepada masyarakat di Malaysia supaya kita boleh jadi bangsa yang hebat seperti dulu," katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (Iswani), Datuk Mokhtar Hussain, berkata, anugerah itu julung kali diberikan kepada organisasi media yang dapat memberi impak dan manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, Karangkraf melalui akhbar utamanya, Sinar Harian dilihat sentiasa berusaha untuk memberikan sesuatu kepada masyarakat seperti menerusi kempen World #QuranHour yang bertambah penyertaannya setiap tahun, seterusnya kempen #RasuahBusters.

"Ini menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap media masih relevan dan usaha seperti ini perlu diteruskan agar masyarakat dapat merasai dan menjadikan hasrat yang kita semua inginkan," jelasnya.