Pemilihan PKR: Dua Exco Pulau Pinang tewas

Iklan
Gambar dari kiri: Fahmi, Norlela

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin tewas kepada bekas pembantu khasnya dalam Pemilihan Keadilan 2022 bagi jawatan Ketua Wanita PKR Cabang Permatang Pauh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu hanya mendapat 92 undi berbanding Nur Syafina Ahmad Sabri yang menerima 147 undi.

Iklan
Iklan

Selain Dr Norlela, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain yang bertanding jawatan Ketua Cabang Bayan Baru juga tewas kepada penyandang jawatan tersebut yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Abdul Halim mendapat 376 undi manakala Tze Tzin menerima 914 undi.

Iklan

Sebelum ini ketika pengundian di Pusat Konvensyen Setia SPICE bagi cabang Bayan Baru berlaku kekecohan disebabkan provokasi antara dua kumpulan.

Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dileraikan dalam tempoh yang singkat tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Iklan

Difahamkan, punca kekecohan itu berlaku apabila perayu didakwa tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mereka tidak boleh berada kurang daripada 200 meter dari pusat pengundian.

Kekecohan itu dipercayai berlaku antara penyokong dua calon bagi ketua cabang iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain.

Selain itu, difahamkan petugas di pusat pengundian itu juga didakwa terdiri daripada penyokong kepada salah seorang calon tersebut menyebabkan berlaku ketidakadilan ketika proses merayu undi.

Sementara itu, percubaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol untuk merebut jawatan Ketua AMK Pusat tidak berjaya apabila tewas dengan pencabarnya, Adam Adli Abd Halim.

Bagaimanapun, Fahmi berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua AMK bagi cabang Permatang Pauh.

Keputusan Pemilihan Keadilan 2022 itu kini boleh dilihat di laman rasmi https://pemilihankeadilan2022.com.