Tok Gajah bangkit terus

Iklan
Penyokong Tok Gajah terus mengharapkan pasukan kesayangan mereka mampu memberi impak positif dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini. - Foto Sri Pahang FC

DALAM kehangatan isu kenaikan pelbagai harga barang ketika ini, saingan Liga Malaysia 2022 turut mendapat perhatian khususnya buat peminat bola sepak tempatan.

Bagi peminat Sri Pahang FC, saingan musim ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin menyaksikan pasukan kesayangan itu tampil dengan keputusan memberangsangkan.

Iklan
Iklan

Musim 2021 menyaksikan kelab tersebut sekadar menduduki tangga ke-10 saingan Liga Super serta tersekat di peringkat kumpulan bagi kancah Piala Malaysia.

Musim ini, Sri Pahang mendapat sentuhan pengendali dari Perancis, Christophe Gamel sebagai Ketua Jurulatih, manakala bekas pengendali kebangsaan, Dollah Salleh yang sebelum ini beberapa musim membimbing Tok Gajah dilantik sebagai pengurus pasukan.

Iklan

Perubahan juga dilakukan menyaksikan Tok Gajah majoritinya dibarisi pemain baharu untuk memperkuatkan skuad tersebut. Antara perubahan dilakukan ialah memilih penjaga gol kebangsaan Mali, Mamadou Samassa menyarung jersi Sri Pahang FC.

Selain itu, musim ini, skuad Tok Gajah diperkuatkan dengan lima import iaitu Manuel Hidalgo (Argentina), Mahmoud Za'tara (Jordan), Johan Martial (Perancis) dan Billy Ketkeophomphone (Laos).

Iklan

Hanya beberapa muka lama dikekalkan, antaranya pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih serta Muslim Ahmad (Pertahanan) dan Malik Arif (Penyerang).

Untuk musim ini, Sri Pahang meletakkan sasaran lima pasukan teratas dalam saingan Liga Super.

Permulaan saingan liga menyaksikan rentak kelab itu terjejas susulan seramai 20 pemain serta pegawai dijangkiti Covid-19 hingga menyebabkan aksi menentang Terengganu FC ditunda.

Setakat ini, selepas lapan perlawanan, skuad itu hanya menduduki tangga ketujuh Liga Super dengan dua kemenangan, dua seri selain empat kekalahan dalam saingan liga tersebut untuk mengumpul lapan mata.

Namun, faktor kurang bernasib baik juga menjejaskan rentak kelab itu memburu mata penuh. Antaranya ketika pertemuan menentang PJ City FC pada 9 April lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas pengadil membenarkan jaringan kontroversi pemain PJ City, R Barathkumar pada minit ke-85.

Akhirnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan keputusan itu didapati menyalahi undang-undang permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).Ia kali kedua nasib malang menimpa Sri Pahang selepas insiden sama berlaku pada 6 April lalu ketika tewas 0-1 kepada Kedah di Stadium Darul Aman apabila dua jaringan pemain Sri Pahang dibatalkan pengadil perlawanan.

Namun, ada sesuatu yang berjaya dipamerkan oleh barisan pemain muda Sri Pahang yang berjaya mengejutkan pendahulu liga setakat ini, Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan seri 2-2 di laman lawan pada 18 Mei lalu sebelum saingan liga berehat.

Kepercayaan yang diberikan Gamel terhadap pemain muda berjaya dibuktikan mereka selepas beberapa pemain utama Tok Gajah dibelenggu kecederaan.

Mungkin ini yang Gamel perlu lihat dan memberikan barisan pemain muda lebih banyak peluang untuk membuktikan kemampuan mereka pada musim ini, sekali gus mengembalikan reputasi Sri Pahang dalam kancah bola sepak tempatan sebelum ini.

Kali terakhir Tok Gajah memegang gelaran juara ialah pada tahun 2018 dengan menjulang Piala FA. Tok Gajah pernah membuktikan kehebatan mereka selaku juara dreble dengan Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada musim 2014.

Episod kegemilangan Tok Gajah serta reputasi antara pasukan yang digeruni perlu dikembalikan, sekali gus dapat mengubat kerinduan peminat tersebut.

Bagi saingan Piala FA musim ini, kelab itu berjaya mara ke peringkat suku akhir dan peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi anak buah Gamel untuk mara seterusnya ke pentas final.

Saingan liga yang sedang berehat sementara waktu sebelum perlawanan bersambung pada 18 Jun depan perlu digunakan Gamel untuk mencari ramuan serta barisan pemain terbaik bagi mengharungi musim ini dengan pencapaian lebih cemerlang.

Harapan peminat dan penulis sudah pasti ingin melihat kelab kesayangan mereka tampil lebih garang dan berjaya, sekali gus mengubat kerinduan peminat melihat Tok Gajah beraksi di Bukit Jalil.

* Rosilawati Rosedi ialah Wartawan Sinar Harian