'Bila nak siapkan rumah PR1MA kami'

Iklan
Wakil pembeli rumah melihat rumah PR1MA Cherating yang sepatutnya siap penghujung tahun lalu. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Fairus, Fazlida, Mohd Rizuwan, Madzlan)

KUANTAN - Pembeli rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Cherating di sini kecewa apabila rumah yang dijanjikan boleh didiami penghujung tahun lalu sehingga kini masih terbengkalai.

Mereka mendakwa projek perumahan itu dilanjutkan disebabkan pandemik Covid-19 dan dijadualkan siap pada Ogos depan, namun perkembangan pembinaannya sekadar siapkan lantai bagi empat unit rumah daripada 108 unit.

Iklan
Iklan

Wakil pembeli, Mohd Fairus Mohd Jais, 35, berkata, kebanyakan pembeli sudah mengeluarkan wang simpanan lebih RM40,000 bagi membayar semua proses pembinaan rumah termasuk 10 peratus bayaran pendahuluan dan guaman.

Menurutnya, ada antara pembeli terpaksa menanggung beban bayaran bulanan kepada bank walaupun rumah yang dibeli gagal disiapkan pemaju dan kontraktor terlibat.

Iklan

"Saya ingatkan projek seliaan kerajaan Pahang terjamin, tapi lain pula ceritanya apabila dalam tempoh dua tahun pihak pemaju dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahagian perumahan gagal mengemas kini status perkembangan projek. Kami dijanjikan akan mendapat rumah ini pada akhir tahun lalu, sebelum dilanjutkan tempohnya atas alasan Covid-19.

"Kalau dilihat status perkembangan pembinaan rumah itu ia seperti wayang daripada pemaju apabila mereka hanya siapkan empat tapak lantai sedangkan kesemua 108 unit rumah perlu disiapkan pada bulan Ogos ini," katanya ketika ditemui di sekitar projek perumahan PR1MA Cherating di sini pada Ahad.

Iklan

Dia yang bekerja sebagai jurutera projek berkata, SUK perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan pemaju dan kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan projek perumahan seperti yang dijadualkan.

"Saya dan pembeli lain sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pemaju dan SUK tetapi alasan dan janji manis diberikan.

"Namun hasilnya tiada, jadi saya sebagai pembeli tidak mahu mendengar sebarang janji dan alasan, sebaliknya mahu satu jaminan daripada SUK dan pemaju bila semua pembeli boleh mendiami rumah itu," ujarnya.

Penduduk kecewa rumah mereka gagal disiapkan seperti yang dijadualkan.

Bagi, eksekutif syarikat swasta, Fazlida Ramli, 34, memaklumkan sentiasa memantau perkembangan projek terbabit sebaik sahaja membeli kediaman itu dan sering melawat tapak projek rumah tersebut.

Dia mengakui kecewa selepas mendapati tiada sebuah rumah PR1MA berjaya disiapkan oleh pemaju sedangkan potongan secara bulanan telah dibuat oleh pihak bank.

"Sampai bila kami harus menunggu dan ditabur janji kosong, tetapi tiada satu pun penyelesaian dibuat oleh pemaju mahu pun SUK. Saya terpaksa tanggung beban hutang, bukan setakat rumah sewa hendak kena bayar, bahkan potongan bank bagi pembelian rumah PR1MA juga sudah bermula dua tahun lalu.

"Saya ingat beli rumah PR1MA bawah kerajaan Pahang tidak mendatangkan masalah, harapan tinggi itu bila dapat beli rumah di bawah kerajaan negeri, bukan kerajaan swasta yang banyak menipu pembeli," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Rizuwan Ramli, 34, mengharapkan rumah pertama yang dibeli dapat diduduki seperti dijadualkan, namun sedih berlaku sebaliknya.

"Saya rasa teraniaya sangat, sebab ramai pembeli harapkan rumah yang dibeli untuk didiami. Jadi, saya berharap kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan isu projek PR1MA Cherating ini.

"SUK perlu membuat pemantauan terhadap pemaju tentang dilantik supaya menyiapkan projek perumahan ini secepat mungkin," katanya yang bekerja sebagai juruteknik di Pelabuhan Kuantan.

Madzlan Said, 38, yang bekerja sebagai polis bantuan pula berasa tertipu dengan pembelian rumah PR1MA Cherating ini selepas mendapati projek itu terbengkalai.

"Rumah tidak siap, tapi bayaran pinjaman perumahan setiap bulan tetap kena bayar, rasa seperti ditipu sebab rumah tidak boleh didiami, kalau tengok lembu dengan kerbau boleh duduk di sini," sindirnya.

Sementara itu, Sinar Harian cuba menghubungi Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim mengenai aduan terbabit, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.