‘Jangan hina perjuangan martabatkan bahasa Melayu’

Iklan
Rais Yatim - Foto Bernama

SHAH ALAM – Perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik, bahasa ilmu atau bahasa komersial seharusnya tidak dihina.

Seruan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim kepada semua pemimpin baharu, lama, menteri dan bekas menteri di dalam negara ini.

Iklan
Iklan

"Bahasa Inggeris boleh jalan macam biasa cuma bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita. Demi Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan wajib diberi ruang dan telapaknya sebagai bahasa ilmu, bahasa diplomatik, bahasa komersial dan bahasa sains teknologi. Ini Malaysia bukan Great Britain.

"Barang siapa yang tak senang dengan apa yang hakiki bagi bahasa Melayu boleh berhujah tetapi jangan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara ini akan jatuh ranap di mata dunia semata-mata kerana memartabatkan bahasa Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, tidak ada negara yang akan jatuh dalam memperjuangkan bahasa kebangsaannya.

"Tapi memang boleh jatuh kalau kleptokrat terus berkuasa. Dalam vokasi hidup, kalau hendak ilmu apapun boleh dicapai dengan bahasa sendiri. Cuma mahu tak mahu sahaja. Kuatkanlah azam politik.

Iklan

"Bahasa Inggeris ada macam-macam nilai utiliti padanya. Komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan, sains dan teknologi. Apa salahnya jika bahasa Melayu turut mempunyai nilai-nilai ini?” soalnya.

Tegasnya, pimpinan dahulu atau bekas menteri yang telah hilang punca tentang pusaka bangsa seharusnya tidak dijadikan ikutan.

Beliau dalam masa sama turut menyeru Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, guru-guru yang mengajar dalam bahasa Melayu dan pendidik bagi membuktikan bahasa ini mampu untuk maju.

"Didik betul-betul. Bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil semua boleh diajar dan dipelajari. Tapi bahasa Melayu wajib di bahasa ilmukan. Jika tidak, ia akan hilang nilai ekonominya dari segi kepenggunaan.” tegasnya.