TUARAN - Seorang pegawai bomba sedang beriadah bersama keluarganya sanggup berenang ke tengah laut demi menyelamatkan lelaki lemas dalam kejadian di Pantai Shahbandar di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, Pegawai Bomba Kanan, Abdul Baharin Bisoi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran ketika itu sedang mandi di laut sebelum terdengar jeritan memaklumkan ada mangsa lemas.
Abdul Baharin berkata, ketika itu dia di luar waktu penugasan dan sedang bercuti membawa keluarganya beriadah di pantai berkenaan.
"Ketika mandi di laut, saya terdengar jeritan, saya pandang ke kiri dan kanan tetapi tiada sesiapa pun namun tidak lama saya lihat ada beberapa individu berada di tengah laut dan saya segera berenang ke arah mereka iaitu sejauh kira-kira 30 meter dari pantai.
"Saya lihat salah seorang lelaki berusia lingkungan 20-an sudah tidak sedarkan diri dan saya bertindak membawanya ke arah pantai. Dalam keadaan kepenatan, saya cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dia terus melakukan CPR beberapa kali iaitu kira-kira tiga minit sebelum mangsa berjaya bernafas semula.
"Keadaan anggota badan mangsa ketika itu sudah mula kebiruan tetapi saya tidak berputus asa memberi CPR sebelum dia bernafas semula dan mula memuntahkan air.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuaran bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," ujarnya.
Dalam pada itu, pegawai berusia 35 tahun itu turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan terutama ketika melakukan aktiviti riadah terutama di kawasan pantai.