NOTTINGHAM Forest kembali semula ke kancah saingan liga teratas Inggeris selepas 23 tahun apabila menewaskan Huddersfield Town 1-0 dalam perlawanan kelayakan Liga Kejuaraan di Stadium Wembley.
Gol tunggal perlawanan pada minit ke-43, jaringan sendiri pemain The Terriers, Levi Colwill yang terbias hasil percubaan James Garner sudah cukup membolehkan The Forest kendalian Steve Cooper mengesahkan status ke saingan elit musim depan dengan kemenangan tipis ke atas anak buah Carlos Corberán.
Sementara itu, tonggak pertahanan Forest, Joe Worrall berkata, Forest selayaknya memenangi perlawanan tersebut setelah mendominasi babak pertama kemudian mengekalkan kedudukan berkenaan tanpa percubaan Huddersfield yang mengancam gawang.
"Saya amat berbangga dengan para pemain, kakitangan dan penyokong setia Forest.
"Sejujurnya kami hebat sepanjang musim, namun kami bernasib malang kerana tidak naik secara automatik.
"Apa yang anda lihat dalam perlawanan ini adalah permainan sepenuh jiwa para pemain Forest yang bermain dengan jujur dan gaya bola sepak dengan cara yang betul," katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Forest mengikut jejak langkah dua lagi kelab Liga Kejuaraan, Bournemouth dan Fulham yang awal lagi menempah slot automatik ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas juara Eropah itu sebelum ini diturunkan dari liga teratas pada 1999 sebelum itu menewaskan Sheffield United untuk mara ke final playoff, adalah juara sensasi Inggeris pada 1978 di bawah Brian Clough dan seterusnya memenangi Piala Eropah edisi 1979 dan 1980.
Sementara itu, Cooper pengurus ke-14 dilantik pengurusan tertinggi kelab dalam tempoh 10 tahun, sejak Billy Davies peluang kembali ke liga utama pada 2011, menyifatkan kemenangan itu merupakan hadiah terindah buat pasukan yang mempunyai sejarah unik dalam kejuaraan Inggeris.
"Semua orang yang mempunyai kaitan dengan sejarah kelab bola sepak membanggakan komuniti Inggeris ini kini boleh memandang hala tuju lebih mencabar dalam saingan baharu.
"Ya, kami benar-benar sudah bersedia menyahut cabaran yang lebih kompetitif dengan sudut pandangan positif sekarang.
"Saya suka dan teruja berada di kelab bola sepak ini, yang telah mengubah cara berfikir dan hidup saya secara profesional secara keseluruhannya,” katanya.