PM saran tubuh Suruhanjaya Patuh Syariah

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kawal selia industri halal dalam negara boleh disatukan melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam ucaptama sempena Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini, Ismail Sabri berkata pada masa ini, cadangan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara

Iklan
Iklan

Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti manakala Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pula mengawal selia industri halal.

"Oleh itu, kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

Iklan

"Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal dapat direalisasikan," katanya di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi) Datuk Jefridin Atan dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Professor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Iklan
Ismail Sabri berkata, ekonomi Malaysia kini berdepan dengan ketidakpastian yang berlaku di peringkat global selain persaingan semakin sengit dalam ekonomi serantau.

Beliau berkata peranan dan sumbangan ekonomi halal tempatan terhadap ekonomi negara masih boleh dipertingkatkan atau ditambah baik supaya menjadi lebih signifikan.

"Berdasarkan laporan Global Islamic Economy Report (2016/2017 hingga 2020/2021), Malaysia menduduki peringkat pertama daripada segi skor petunjuk ekonomi Islam global. Bahkan, Malaysia menunjukkan prestasi teratas dalam sektor kewangan Islam.

"Namun begitu, enam sektor lain, iaitu makanan halal, pelancongan, fesyen, kosmetik dan farmaseutikal, media dan rekreasi masih ada ruang diperbaiki untuk meningkatkan skor dalam sektor tersebut," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, ekonomi halal dilihat lebih mencakupi dan berkembang sekitar sektor kewangan dan makanan, sekali gus memperlihatkan kewajaran bahawa aspek ekonomi halal itu perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan.

Perdana Menteri berkata, kepesatan kewangan Islam antaranya dipacu oleh permintaan masyarakat terhadap sistem bebas riba, mempunyai unsur gharar dan masyir (spekulasi atau perjudian) selain adanya juga kawal selia dan model pengembangan sistem kewangan Islam yang tersedia di peringkat global.

Justeru, beliau berkata, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupayakan dan diusahakan oleh pemegang taruh untuk memperkasakan ekonomi halal yang mana ia boleh dilakukan dengan meningkatkan peranannya dalam pelbagai sektor ekonomi halal dalam pembangunan negara.

"Ekonomi halal menggabungkan elemen keperluan agama dalam perniagaan dengan menekankan hubungan sesama manusia bersandarkan persaudaraan dan kesamaan manakala harta dan segala sumbernya di muka bumi pula dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh ALLAH.

"Sehubungan itu, ekonomi halal perlu diangkat sebagai salah satu sistem yang berdaya saing dan penyumbang kepada ekonomi negara. Selain itu, pasaran produk halal juga patut berkembang sehingga ke negara-negara bukan Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, industri produk halal di Malaysia mula diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian II, 1996-2005 dan diikuti pula Dasar Pertanian Negara Ketiga, 1998-2010 dengan industri itu dibangunkan kerana Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur dan kemahiran dalam teknologi pemprosesan.

"Kepentingan industri halal ini turut dititikberatkan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga, 2006-2020, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Pelan induk ini mempunyai teras strategik antara lainnya menjadikan Malaysia pusat serantau bagi produk dan perkhidmatan halal seperti produk farmaseutikal, peralatan perubatan, pemprosesan makanan, tekstil dan pakaian," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, program pembangunan modal insan dalam bidang ekonomi halal di peringkat antarabangsa diharap dapat dilaksanakan.

"Pihak kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, Jakim, Halal Development Corporation dan pihak industri diseru supaya dapat menyokong usaha murni ini," katanya.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan Dana Endowmen Ekonomi Halal dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta, yang ditubuhkan oleh Legasi dan Hadahri Global Foundation dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Tujuan utama penubuhan dana endowmen ini adalah membangunkan kepemimpinan dalam penyelidikan dan pendidikan dalam bidang ekonomi halal. Ini meliputi bidang Sains dan Teknologi, dan Sains Kemanusiaan.

"Saya menyambut baik penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal ini dan berharap usaha ini dapat memperkasakan aktiviti akademik dan intelektual dalam bidang ekonomi halal agar Malaysia dapat menerajui agenda ekonomi halal di peringkat pengajian tinggi," katanya. - Bernama