Projek pembesaran LTAPP, pembinaan KXP belum diluluskan

Iklan
Kon Yeow memberitahu sidang DUN Pulau Pinang bahawa projek pembesaran LTAPP belum diluluskan MOT.

GEORGETOWN - Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih belum diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan kementerian bagi membincangkan projek pembesaran LTAPP, namun dimaklumkan bahawa semua projek lapangan terbang masih ditangguhkan sementara menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) siap.

Iklan
Iklan

"Sama ada projek pembesaran LTAPP atau pembinaan KXP di Kulim, Kedah sehingga kini tiada kelulusan bagi kedua-dua projek itu.

"Kita boleh melihat ini secara positif, jika industri di wilayah utara mengalami pertumbuhan yang baik dan menunjukkan keperluan untuk pembesaran lapangan terbang, maka data itu boleh dimasukkan ke dalam kajian NASP untuk kementerian membuat keputusan," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Isnin.

Iklan

Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Nor (BN - Sungai Dua).

Dalam pada itu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari ketika menjawab soalan mengenai perkembangan terkini projek tersebut berkata, kekurangan permintaan dalam industri penerbangan negara menyebabkan projek tersebut ditangguhkan sehingga industri penerbangan dipulihkan.

Iklan

"Dalam tempoh ini, kerajaan persekutuan sedang menyelesaikan beberapa isu termasuk pengambilan balik tanah bagi membolehkan projek menaik taraf LTAPP dapat dilaksanakan setelah industri penerbangan pulih.

"Bagi isu pengambilan balik tanah, kerajaan persekutuan sedang mengambil tindakan dalam memperincikan kawasan-kawasan yang terlibat dan ia hanya akan diketahui setelah proses pengambilan tanah dimuktamadkan.

"Untuk itu, Kementerian Pengangkutan dalam proses permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3 2023) Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) (RMK12) kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi pengambilan balik tanah dapat dilaksanakan," katanya.

Zairil (DAP- Tanjung Bungah) berkata, bagi memastikan keperluan pembangunan jangka panjang lapangan terbang (padang terbang) di Malaysia berdasarkan keperluan industri semasa mengambil kira impak Covid-19 dan keperluan sistem jaringan kesalinghubungan pengangkutan negara, MOT telah memulakan kajian NASP pada awal Mac lalu.

"Kajian akan mengambil masa 18 bulan untuk dimuktamadkan, manakala bagi status projek Pelabuhan Pulau Pinang, Pelan Pembangunan Pelabuhan terutamanya melibatkan pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) telah disediakan oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk kelulusan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan MOT.

"Ia tertakluk kepada permintaan pasaran dan keperluan kapasiti pengendalian operasi pelabuhan, projek pelebaran NBCT yang melibatkan keluasan kawasan sebanyak 217 hektar dijangka dimulakan pada tahun 2026 secara berperingkat," katanya.