Warga Ukraine antara empat ditahan edar 39kg syabu

Iklan
Ahmad Jefferi (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan tersebut.

KAJANG - Taktik sebuah sindiket cuba mengedar 39 kilogram (kg) syabu dengan meninggalkan dadah tersebut dalam sebuah kereta terbongkar selepas digempur polis dalam serbuan di kawasan parkir berhampiran deretan kedai di Batu 11, Cheras di sini 24 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor (JSJN), Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, pihaknya menahan empat lelaki termasuk seorang warga Ukraine dalam serbuan jam 6 petang itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai memperoleh bekalan dari negara jiran dan aktif mengedar dadah berkenaan secara kecil-kecilan untuk pasaran di Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 44 tahun yang sedang leka mengangkat kotak.

Iklan

"Kami turut menemui satu kotak bungkusan teh Cina serta plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 39 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini pada Isnin.

Ahmad Jefferi berkata, polis sedang menyiasat peranan lelaki warga Ukraine terbabit dan tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki baki ahli sindiket berkenaan yang masih aktif.

Iklan

"Semakan dilakukan mendapati pasport milik individu warga Ukraine berkenaan adalah sah. Dia sudah dua kali datang ke Malaysia iaitu pada April lalu sebelum keluar ke Thailand dan datang semula pada awal bulan lalu (Mei).

"Hasil ujian saringan dilakukan mendapati dua daripada empat suspek berkenaan positif dadah dan dua daripada mereka juga mempunyai rekod kesalahan kes dadah serta jenayah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan tersebut, polis turut merampas tiga buah kereta jenis Mercedes Benz, Toyota Vios, Perodua Bezza, wang tunai RM20,380, dan mata wang Thailand sebanyak 35,000 baht serta 11 bentuk barang kemas berjumlah RM109,200.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 25 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan permohonan sambungan reman akan dibuat pada Selasa.