GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang dicadangkan agar menyediakan perkhidmatan ‘mobile counseling’ atau ‘mobile psychologist’ bagi membendung kes cubaan atau bunuh diri di Pulau Pinang.
Dr Afif Baharfin (Bersatu- Seberang Jaya) berkata, perkhidmatan itu bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan emosi sekali gus menurunkan kes bunuh diri.
Katanya, usaha itu sudah dilaksanakan di negara luar antaranya di Bandung, Indonesia yang mana pihak berkuasa menyediakan sebuah van membawa seorang pakar psikiatri ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti.
"Perkhidmatan 'mobile counseling' atau 'mobile psychologist' menggunakan van ini boleh digunakan oleh mereka yang memerlukan bantuan selain memerlukan sokongan emosi secara fizikal.
"Usaha ini secara tidak langsung dilihat dapat membendung lebih banyak kes cubaan bunuh diri di negeri ini," katanya ketika mencelah ketika A Kumaresan (PKR-Batu Uban) membahaskan usul ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Isnin.
Dalam pada itu, Kumaresan berkata, kerajaan negeri perlu merangka semula pelan strategik dan formula baharu untuk menangani masalah tersebut.
"Trend cubaan bunuh diri di Pulau Pinang amat membimbangkan yang mana terdapat 64 kes sepanjang tahun 2020 sehingga 2022 setakat ini.
"Oleh demikian, saya mengesyorkan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang menjadi ahli jawatankuasa kepada pelan strategik ini.
"Selain itu dari segi undang-undang, pihak berkuasa sepatutnya tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sedang mengalami kemurungan ini sebaliknya membantu dengan proses pemulihan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pakar serta agensi berkaitan untuk mencari mekanisme membantu mereka yang mengalami masalah dalam kehidupan supaya tidak menjadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai tempat membunuh diri.
Katanya, usaha itu digerakkan oleh Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang turut membincangkan perkara itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta profesional dalam bidang perubatan di negeri ini.
Tambah Kok Yeow, kemungkinan dengan cara tidak melaporkan kes-kes tersebut di media sosial adalah lebih baik kerana dilihat boleh membantu mengurangkan kes atau keinginan untuk membunuh diri di jambatan.
Difahamkan, sepanjang bulan ini sahaja direkodkan sudah berlaku lapan kejadian terjun dan cubaan terjun dilaporkan di jambatan tersebut atau sebanyak 12 kes sepanjang tahun ini.