[VIDEO] Polis cari lelaki berlagak samseng di jalan raya

Iklan
Tangkap layar video tindakan seorang lelaki seolah-olah cuba membaling sesuatu kepada sebuah kenderaan.

SEREMBAN - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dirakam seolah-olah cuba membaling objek ke arah sebuah kenderaan yang melalui Jalan Temiang-Pantai di sini, pada Ahad.

Rakaman video berdurasi 11 saat yang memaparkan tindakan lelaki itu tular di media sosial sejak malam Ahad.

Iklan
Iklan

Ia dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit membunyikan hon kepada sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan motosikal mereka di lorong kecemasan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada tengah hari Ahad.

Iklan

"Terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di laluan kecemasan di lokasi kejadian.

"Pada masa sama, rakaman dari kamera papan pemuka tersebut turut memaparkan seorang individu seakan-akan cuba untuk membaling objek ke arah kenderaan perakam," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, bertindak atas rakaman yang diperoleh, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terlibat.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di atas jalan yang boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya.

Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 268(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam dan boleh didenda tidak melebihi RM400.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terhadap kes ini boleh salurkan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801.

"Polis sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan dan mengingatkan kepada semua pihak untuk lebih bertanggungjawab serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.