'Isu bekalan makanan sepatutnya sudah dalam jangkaan' - Ahmad Zahid

Iklan
Foto hiasan - 123RF. (Gambar kecil) Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM - Isu bekalan makanan sepatutnya sudah dalam jangkaan pihak bertanggungjawab disebabkan faktor pandemik dan cuaca.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian dan agensi berkaitan seharusnya mempunyai pelan kontigensi yang telah direka untuk menangani hal yang sudah diduga akan berlaku.

Iklan
Iklan

Tambahnya, beliau pernah menyuarakan kerisauan tentang peningkatan harga ikan disebabkan kekurangan bekalan ayam dan kebimbangan itu ternyata berasas.

"Selepas isu kekurangan bekalan ayam melanda negara sehinggakan bos Mydin terpaksa ke Thailand mencari bekalan, kini bekalan ikan pula dilaporkan berdepan masalah.

Iklan

"Tentunya keadaan lebih memburuk apabila pendaratan ikan terutama di utara semenanjung dilaporkan berkurangan sehingga 70 peratus.

"Daripada lebih sejuta tan kepada hanya kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Pada Sabtu, Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohd Faiz Fadzil mendakwa masalah kekurangan ikan ketika ini berpunca daripada pengurusan dan pengendalian agensi kerajaan yang terlibat sehingga memberi kesan kepada pengguna.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, malangnya hanya sikap menunding jari sahaja yang berlaku.

"Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendakwa masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah punca kekurangan bekalan ikan di negara ini.

"Beliau mendakwa telah membentangkan masalah bekalan ikan kepada lembaga pengarah yang dianggotai oleh kementerian berkaitan.

"Iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) agar tindakan segera diambil.

"Namun dakwanya masih tiada jawapan balas mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga ikan,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat tidak peduli dan tiada masa untuk adegan salah menyalah kerana mereka yang terpaksa menanggung kesannya.

"Rakyat perlukan solusi pantas dan tentunya kementerian serta agensi yang dipertanggungjawabkan perlu menyelesaikannya.

"MAFI, MOF, EPU dan LKIM perlu sepakat dan bertindak segera jika benar masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah punca permasalahan,” jelasnya.