MALAYSIA Airlines Bhd akan mengendalikan penerbangan penumpang pertama menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) antara Kuala Lumpur dan Singapura pada 5 Jun bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia.
Syarikat itu berkata, penerbangan yang dikuasakan SAF dari Kuala Lumpur ke Singapura menerusi MH603 dan dari Singapura ke Kuala Lumpur melalui MH606 mengulangi komitmen syarikat penerbangan kebangsaan itu terhadap tema ‘Sustainable Tomorrow’ serta menandakan kemajuan ketara ke arah mencapai penggunaan sumber bahan api yang lebih bersih dan berdaya maju untuk penerbangan biasa menjelang 2025.
Iklan
Iklan
"Penerbangan itu akan dikendalikan oleh pesawat Boeing 737-800, menggunakan gabungan kira-kira 38 peratus SAF dan bahan api jet konvensional.
"Berbanding bahan api jet fosil konvensional, pilihan bahan api mampan ini, diperbuat daripada 100 peratus sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah (seperti minyak masak), boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Malaysia Airlines menjemput tetamu dan penyokong kemampanan untuk melakukan perjalanan dengan penerbangan penting tersebut. Tetamu boleh menempah mulai sekarang hingga 4 Jun untuk menikmati diskaun sehingga 15 peratus apabila mereka melakukan penerbangan ini.
"Untuk menikmati diskaun, gunakan kod promo ‘SAF2022’ semasa daftar keluar di www.malaysiaairlines.com. Tetamu digalakkan untuk menempah secepat mungkin kerana tiket dijual dengan pantas," tambahnya. - Bernama