Tamparan hebat kepada China

Iklan
Menteri Luar China, Wang Yi ketika menyertai sidang media di Suva. - Foto: AFP

SUVA - Perbincangan antara 10 negara kepulauan Pasifik berhubung perjanjian keselamatan yang meluas bersama Beijing gagal mencapai sebarang kesepakatan pada Isnin sekali gus memberi tamparan hebat kepada gergasi ekonomi dunia itu.

Perkembangan itu diumumkan selepas mesyuarat tertutup bersama Menteri Luar China, Wang Yi yang mengadakan lawatan ke Suva, namun tidak menyebut secara langsung tentang dokumen ‘Visi Pembangunan Bersama’ tersebut.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua belah pihak akan mengadakan rundingan secara berterusan untuk mencapai lebih banyak konsensus mengenai kerjasama,” jelasnya.

Yi bagaimanapun menjelaskan kesemua 10 negara kepulauan Pasifik itu sebulat suara terhadap memorandum persefahaman (MoU) tentang inisiatif infrastruktur Jalur dan Laluan (BRI) yang diasaskan China malah ia juga cuba meredakan kebimbangan ramai tentang ‘rancangan sebenar’ Beijing di rantau berkenaan yang diburukkan lagi dengan momokan Barat.

Iklan

Difahamkan, sidang kemuncak secara maya tersebut bertujuan untuk membincangkan cadangan bagi meningkatkan penglibatan Beijing dalam keselamatan, ekonomi dan politik di Pasifik Selatan.

Tetapi, usaha itu tidak berhasil setelah pemimpin Papua New Guinea, Samoa dan Micronesia menzahirkan rasa bimbang jika kesemua negara berada di dalam ‘orbit China’.

Iklan

"Seperti biasa, kami mengutamakan konsensus. Kesepakatan secara meluas perlu dicapai sebelum memeterai perjanjian serantau baharu,” kata Perdana Menter Fiji, Frank Bainimarama.

Sebelum sidang kemuncak itu berlangsung, Presiden China, Xi Jinping menyatakan Beijing akan menjadi ‘saudara yang baik’ kepada rantau berkenaan yang akan berkongsi ‘takdir bersama’.

Bagaimanapun, Presiden Micronesia, David Panuelo menerusi surat kepada rakan pemimpin lain di rantau itu memberi amaran cadangan perjanjian itu disifatkan tidak jujur dan semata-mata untuk memastikan pengaruh Beijing dalam kerajaan dan kawalan ekonomi terhadap industri utama. - AFP

Info

>Antara cadangan China di bawah pakatan keselamatan itu termasuk melatih polis Kepulauan Pasifik, terlibat dalam keselamatan siber, memperluaskan hubungan politik, melakukan pemetaan marin yang sensitif dan memperoleh akses lebih luas terhadap sumber asli di darat dan laut.

>Sebagai usaha untuk menarik penglibatan negara berkenaan, ia menawarkan bantuan kewangan berjumlah jutaan dolar, prospek perjanjian perdagangan bebas Kepulauan Pasifik-China dan akses kepada pasaran luas Beijing.