PEMAIN golf lelaki negara Ervin Chang sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar di peringkat antarabangsa selepas meraih kemenangan bersejarah apabila memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini.
Atlet berumur 24 tahun yang baru beralih menjadi pemain pemain profesional Jumaat lepas itu berkata, misi jangka pendek beliau adalah untuk memenangi kejohanan profesional dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Tidak kira sama ada (PGM) Professional Golf of Malaysia Tour, ADT (Asian Development Tour)... sudah pastinya lebih baik jika memenangi Asian Tour, tapi buat masa ini saya hanya meneruskan usaha gigih dari sudut mental, fizikal serta teknikal, dan bersiap sedia untuk menghadapi karier sebagai pemain profesional, kerana ia bukannya sesuatu yang mudah.
"Ia sangat kompetitif, tidak kira sama ada Asian Tour, ADT, European Tour, PGA (Professional Golfers’ Association of America) Tour, tentunya ia yang paling kompetitif. Banyak perancangan diperlukan sebagai pemain profesional, namun saya sudah bersedia,” katanya ketika ditemui di majlis Anugerah Pasukan Golf Sukan SEA Hanoi 2021 pada Isnin.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Pada 15 Mei lepas, Ervin mencipta sejarah tersendiri selepas menjadi pemain pertama dari Malaysia yang berjaya meraih gelaran juara golf individu lelaki Sukan SEA di Heron Lake Golf Course & Resort di Vinh Phuc, Vietnam.
Tiga hari kemudian beliau bersama Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A. Nateeshvar membantu Malaysia mendapatkan kembali pingat emas acara golf lelaki berpasukan Sukan SEA yang pernah dimenangi negara sekitar dua dekad lepas, setelah menewaskan Thailand di peringkat akhir.
Ervin kini bersiap sedia untuk bersaing dalam ADT di Indonesia yang akan bermula Selasa ini, dan sedang menunggu pengesahan untuk bermain dalam acara kedua ADT minggu berikutnya.
Beliau juga bercadang untuk bertanding dalam beberapa kejohanan tempatan di Indonesia dan berharap untuk mendapat jemputan menerusi ADT atau Asian Tour berdasarkan kepada prestasinya.
Merujuk kepada Sukan Olimpik, Ervin berkata bertanding dalam kejohanan sukan berprestij itu sememangnya menjadi impiannya sejak sekian lama, namun setakat ini beliau hanya memberi tumpuan kepada usaha memajukan kariernya secara berperingkat. - Bernama