Kubang Pasu mampu jadi hab coklat

Iklan
Muhammad Sanusi (kiri) merasai coklat yang dikeluarkan oleh kilang tempatan milik CNW Jitra Manufacturing di Taman Industri Keda Napoh, dekat sini pada petang Isnin.

JITRA - Daerah Kubang Pasu berpotensi menjadi hab pengeluaran coklat berdasarkan laluan strategiknya menjadi pintu keluar dan masuk pelancong dari Thailand melalui Bukit Kayu Hitam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri berharap industri pembuatan coklat dapat dibangunkan di negeri ini selepas melihat permintaan tinggi terhadap produk coklat khususnya di Langkawi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kubang Pasu mampu memainkan peranan sebagai persinggahan wajib pelancong yang keluar masuk sempadan melalui hab pengeluaran coklat yang mampu ditawarkan di daerah ini.

"Pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua tahun memberi pengajaran kepada kita bahawa kebergantungan terhadap produk coklat yang diimport telah menyebabkan kekecewaan dalam kalangan pelancong.

Iklan

"Apabila kita buka semula pintu pelancongan ke Langkawi selepas PKP, ramai yang kecewa kerana tidak dapat beli coklat untuk dibawa balik.

"Pada hemat saya, dalam keadaan kekurangan atau ketiadaan coklat dari luar dalam pasaran Langkawi, seharusnya ini menjadi peluang bagi pengeluar coklat tempatan untuk menawan hati pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan kilang CNW Jitra Manufacturing yang mengeluarkan produk coklat di Taman Industri Keda Napoh, dekat sini pada petang Isnin.

Iklan

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan Kedah, Datuk Siti Aisyah Ghazali.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, penglibatan usahawan tempatan khususnya bumiputera dalam bidang pengeluaran coklat masih lagi kurang.

"Usahawan tempatan seharusnya lebih berani meneroka pasaran yang sememangnya terbuka luas selain mendapat permintaan yang sangat tinggi daripada penggemar coklat.

"Dalam pelan pembangunan KEDAH2035, daerah Kubang Pasu diletakkan sebagai hab pendidikan dan hab logistik. Saya melihat bahawa Kubang Pasu juga boleh menjadi hab coklat," katanya.

Beliau berkata, di Kubang Pasu terdapat banyak institusi Pendidikan tinggi seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Akademi Binaan Malaysia dan Sekolah berasrama penuh.

"Setiap tahun terdapat pelajar baru mendaftar masuk dan konvokesyen pelajar lama tamat pengajian. Dalam konteks ini, semua pihak di Kubang Pasu sama ada agensi dan pentadbir kerajaan juga komuniti perniagaan perlu buat 'belat'.

"Jika tidak, keluarga pelajar yang datang ke sini akan memilih tempat lain yang berhampiran untuk membeli ole-ole dibawa balik, bukan di tempat kita," katanya.