Pemimpin EU sepakat mengenai embargo minyak Rusia

Iklan
Bendera Kesatuan Eropah. - Foto 123RF

BRUSSELS - Negara Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin sepakat untuk mengurangkan jumlah pembelian minyak dari Rusia sebanyak 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengumumkan bahawa negara-negara EU pada sidang kemuncak pemimpin EU di Brussels bersetuju untuk mengenakan sekatan minyak ke atas Rusia berikutan perangnya ke atas Ukraine.

Iklan
Iklan

"Saya mengalu-alukan perjanjian #EUCO malam ini mengenai sekatan minyak terhadap Rusia. Ini secara berkesan akan mengurangkan kira-kira 90 peratus import minyak dari Rusia ke EU menjelang akhir tahun ini,” lapor Agensi Anadolu memetik ciapan von der Leyen di Twitter.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel turut mengulas mengenai langkah itu.

Iklan

"Perjanjian untuk mengharamkan eksport minyak Rusia ke EU. Ia meliputi lebih 2/3 import minyak dari Rusia, mengurangkan sumber pembiayaan yang besar untuk peralatan perangnya. Tekanan maksimum ke atas Rusia untuk menamatkan perang,” ciapnya di Twitter.

Cadangan itu, yang disediakan oleh Suruhanjaya Eropah kira-kira sebulan lalu, termasuk menghentikan bekalan minyak mentah dari Rusia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dan bekalan produk ditapis menjelang akhir tahun.

Iklan

Beberapa negara anggota, terutamanya Hungary, menentang larangan import minyak. Hungary, Slovakia, dan Republik Czech diberi masa tambahan untuk mengimport minyak dari Moscow. - Bernama