Wanita langgar konvoi kereta mewah didenda RM2,000

Iklan
Jia Min (kanan) ketika dibawa ke Kamar Perbicaraan Mahkamah Majistret Kulai di sini, pada Selasa. Kejadian berkenaan tular di laman sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa kenderaan mewah berhenti di laluan lebuh raya sehingga menghalang lalu lintas.

KULAI - Pemandu kereta pacuan empat roda yang terlibat dalam kejadian tular konvoi kereta mewah pada Mac lalu didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan gagal mengawal kenderaan dipandunya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Lee Jia Min, 28 selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Jia Min yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda didakwa gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kemalangan.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu di kilometer (km) 34 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan) di sini kira-kira jam 6.10 petang pada 18 Mac 2022.

Iklan

Bagi kesalahan itu, OKS didakwa melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 337/87) serta dibaca bersama Seksyen 128(1) Akta yang sama.

Kesalahan itu boleh memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan.

Iklan

Pada Mac lalu, media melaporkan, seorang wanita yang merupakan pemandu pacuan empat roda telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian konvoi kereta mewah yang berhenti di laluan berkenaan.

Kejadian berkenaan tular di laman sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa kenderaan mewah berhenti di laluan lebuh raya sehingga menghalang lalu lintas.

Sementara itu, dalam rayuannya, OKS yang diwakili Peguam, Tam Cheng Yee memohon agar mahkamah mengenakan denda yang minima kerana ini merupakan kesalahan pertama tertuduh selepas sembilan tahun berpengalaman memandu kenderaan.

Cheng Yee juga memaklumkan, tindakan dilakukan anak guamnya itu adalah disebabkan OKS merasa tidak selesa dan cemas apabila kenderaan dipandunya dihampiri beberapa kenderaan mewah yang sedang berkonvoi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong memohon mahkamah agar mengenakan hukuman yang setimpal kerana tindakan OKS boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Majistret kemudiannya mengenakan hukuman berkenaan selain diarahkan OKS menjalani penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, Sharifah Maleeha memaklumkan rayuan OKS berkenaan tindakan dilakukannya adalah kerana dia berada dalam keadaan cemas adalah tidak sesuai kerana OKS dilihat berdasarkan rakaman video telah memandu secara berbahaya.

Beliau berkata, sekiranya OKS cemas, seharusnya dia memandu dengan lebih perlahan kerana itu lebih selamat selain memberitahu kemalangan itu berkemungkinan tidak akan berlaku sekiranya OKS tidak memandu secara melulu.