ALOR SETAR – Seorang anggota bomba mengalami sesak nafas manakala seorang lelaki cedera dalam kebakaran di sebuah gudang perabot di Jalan Padang Temusu di Sungai Petani, dekat sini pada Selasa.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, anggota terbabit, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhammad Fazri Zulkefli, 31, dan seorang lagi mangsa berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan bagaimanapun telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut
Beliau memberitahu, seorang mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menggunakan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan seorang lagi dihantar ke klinik berhampiran oleh EMRS BBP Tikam Batu.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan kejadian kebakaran gudang perabot itu kira-kira jam 12.03 tengah hari.
"Sepasukan anggota dan pegawai BBP Sungai Petani dan BBP Tikam Batu diarahkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kebakaran didapati melibatkan sebuah gudang perabot kelas B dengan anggaran kemusnahan 60 peratus keseluruhan bangunan.
"Susulan itu, komander operasi menggunakan sumber air dari ‘water tanker’ dar BBP Sungai Petani dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang terlibat bagi memadamkan kebakaran.
"Operasi pemadaman berjaya dikawal kira-kira jam 12.49 tengah hari," katanya.