'Pensil' diikat guna getah, undang sebak!

Iklan
Jan Kim dengan sebatang 'pensil' ciptaannya.
MANILA - FILIPINA. Biarpun serba daif, seorang kanak-kanak mempunyai azam tinggi datang sekolah dengan membawa sebatang 'pensil' ciptaannya sekaligus mengundang hiba guru kelasnya.

Jan Kim Enario berusia 8 tahun bersekolah di Santa Rita Samar.

Laporan Rappler, gurunya Maricor Baculanta berkata, walaupun 'pensil' itu tidak sempurna tetapi dia berusaha menyiapkan latihan dalam kelas.

Iklan
Iklan

"Kelakuan dia agak pelik, saya lihat dia cuba sembunyikan sesuatu di sebalik tangan kanan ketika menulis," katanya.

Curiga dengan kelakuan muridnya itu, Maricor mendekati Jan Kim dan ternyata terkejut dengan apa yang dilihat.

Iklan

"Saya nampak dakwat pen diikat menggunakan getah berwarna biru pada sebatang kayu kecil seakan-akan pensil.

"Dari jauh seperti pensil tetapi sebenarnya hanyalah dakwat pen berwarna hitam. Saya tanya dari mana dia perolehi 'pensil' itu. Dia hanya menjawab,"Saya yang membuatnya, dakwat pen ini jumpa di rumah"," katanya.

Iklan

Gurunya tidak mampu berkata sebaliknya hanya mampu menangis.

"Air mata hanya mampu menitik, melihat dia sanggup menulis menggunakan 'pensil' itu. Jan Kim juga memberitahu dia tiada pensil sebaliknya hanya ada dakwat pen sahaja.

"Saya fikir kalau terjadi kepada anak saya atau murid lain, pasti malu dan tak mahu pergi sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Maricor telah memuat naik beberapa foto Jan Kim di Facebook miliknya pada Februari lalu dan sehingga kini kisah itu masih tular di media sosial.

Katanya, tindakan memuat naik foto kanak-kanak itu sekadar untuk berkongsi kepada kenalannya namun tidak sangka ia tular malah menjadi bualan netizen.

"Saya menghargai usaha rakan-rakan untuk membantu Jan Kim malah ada sanggup mahu tanggung kos pembelajarannya.

"Saya bersyukur kerana mendapat reaksi positif. Saya tak kisah apa pun orang hendak kata kerana niat saya berkongsi kisah ini supaya ia dijadikan inspirasi kepada orang lain terutama murid lain supaya tidak menjadikan kemiskinan satu halangan untuk datang ke sekolah,” katanya.

Netizen, TJ Tayao berkata,"Kanak-kanak yang tidak mudah putus asa akan berjaya kelak. Jangan terus mengalah, moga terus berjaya".

Bagi Marcial Labadan, dia sanggup menawarkan diri untuk membantu kanak-kanak itu dari sudut kewangan hingga tamat persekolahan.